SEPANG: AirAsia membatalkan atau menjadualkan semula semua penerbangan ke dan dari Jakarta susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) berikutan ancaman abu gunung berapi daripada letusan berterusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.
Syarikat penerbangan itu berkata, awan abu gunung berapi dijangka menjejaskan ruang udara di rantau berkenaan dan boleh mengancam keselamatan operasi pesawat yang berada berhampiran awan abu.
Jelasnya, situasi itu turut menyebabkan syarikat penerbangan berkenaan melakukan pelarasan operasi terhadap beberapa perkhidmatan AirAsia yang laluan penerbangannya mungkin terjejas akibat aktiviti gunung berapi.
“AirAsia sudah memaklumkan semua penumpang yang terjejas mengenai status penerbangan serta pilihan pemulihan perjalanan.
“AirAsia juga sedang berusaha memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan dengan selamat menerusi penerbangan seterusnya yang tersedia,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagi penumpang yang terjejas, syarikat menyediakan beberapa pilihan pemulihan perkhidmatan (SRO), termasuk bayaran balik penuh kepada kaedah pembayaran asal.
Penumpang juga boleh memilih kredit akaun yang sah selama 730 hari dari tarikh dikeluarkan dan dikreditkan ke akaun keahlian AirAsia.
Selain itu, penumpang boleh membuat pertukaran tarikh penerbangan secara percuma untuk sekali sahaja dalam tempoh 30 hari daripada tarikh asal berlepas, bagi laluan sama dalam rangkaian AirAsia, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Pilihan lain ialah penjadualan semula laluan ke destinasi terpilih di Indonesia yang dilayani rangkaian AirAsia, untuk perjalanan dalam tempoh 30 hari daripada tempahan asal dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Penerbangan yang terjejas termasuk penerbangan yang dibatalkan pada 6 dan 7 September 2026.
Syarikat penerbangan itu turut mengingatkan penumpang yang mempunyai perjalanan ke atau dari destinasi terjejas supaya menyemak status penerbangan terkini sebelum ke lapangan terbang.
Situasi cuaca ini masih berubah-ubah dan penumpang AirAsia yang melakukan perjalanan ke atau dari destinasi terjejas amat digalakkan menyemak status penerbangan terkini.
AirAsia terus memantau perkembangan aktiviti Gunung Anak Krakatau dan akan mengemas kini nasihat perjalanan berhubung penyambungan semula operasi seperti biasa.
Penumpang boleh menyemak status penerbangan menerusi laman rasmi AirAsia atau mendapatkan maklumat lanjut daripada saluran khidmat pelanggan syarikat. – UTUSAN










