PETALING JAYA: Setiap usaha menghidupkan semula kawasan bersejarah di sekitar ibu negara perlu diteruskan tanpa menghilangkan identiti dan ‘jiwa’ lokasi berkenaan.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut mampu secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada kawasan terlibat terutama kepada komuniti dan merancakkan ekonomi setempat.
“Saya percaya pelaburan yang baik bukan sekadar dinilai daripada jumlah modal atau nilai projek, tetapi daripada manfaat yang berjaya diwujudkan kepada masyarakat serta ekonomi setempat.
“Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya amat mengalu-alukan usaha untuk terus menghidupkan semula kawasan-kawasan bersejarah di Kuala Lumpur tanpa menghilangkan identiti dan jiwanya,” katanya hari ini.
Sebelum itu beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, hadir menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Rasmi China Town 1974, di Petaling Street, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut Johari berkata, transformasi seperti Chinatown 1974 mampu menarik lebih ramai pengunjung, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Ia juga mampu memberikan limpahan ekonomi kepada usahawan, pembekal dan komuniti di sekitar kawasan.
“Tahniah kepada UDA Holdings Berhad, Menara Rezeki Sdn. Bhd. serta seluruh pasukan yang telah memberikan nafas baharu kepada aset sedia ada dengan menggabungkan elemen sejarah, budaya dan pengalaman moden,” ujarnya. – UTUSAN










