PUTRAJAYA: Tiada institusi pengajian tinggi (IPT) dilaporkan terjejas akibat jerebu ketika ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keadaan jerebu terutama di kawasan Sabah dan Sarawak yang terjejas dengan serius.
Katanya, semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti telah dimaklumkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan keadaan jerebu.
“Kita telah memaklumkan kepada pihak institusi-institusi pendidikan tinggi, universiti, politeknik dan juga kolej komuniti untuk sentiasa memantau khususnya di kawasan Sabah dan Sarawak yang terkesan begitu serius.
“Kita akan pastikan supaya setiap proses pembelajaran pelajar di mana pun akan berasaskan kepada arahan-arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan,” katanya selepas Mahlis Penyerahan Surat Tajaan kepada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, pendekatan fleksibel dilaksanakan di beberapa IPT di Sarawak termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), politeknik dan beberapa kolej komuniti.
Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terjejas sekiranya keadaan jerebu menghalang mereka untuk hadir secara fizikal. – UTUSAN










