Mat rempit 'memekak' ditahan polis - Utusan Malaysia

Mat rempit ‘memekak’ ditahan polis

Mat rempit
TANGKAP layar daripada rakaman yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang samseng jalanan ditahan selepas memekak dekat Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang ‘mat rempit’ ‘memekak’ menggunakan motosikalnya dekat Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini pada tengah malam tadi mengundang padah apabila ditahan polis ketika hendak melarikan diri.

Bagaimanapun, lelaki berusia 19 tahun itu berjaya ditahan apabila terjatuh ketika membuat pusingan di lokasi berkenaan ketika dikejar Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Seksyen 9.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, URB diarahkan ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan terhadap sekumpulan pemilik motosikal di sana.

“Pada pukul 12.20 tengah malam, URB menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam (IDCC) untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam kerana ada sekumpulan kumpulan motosikal membuat bising.

“Dua unit Unit Rondaan Bermotosikal ( URB ) Balai Polis Seksyen 9 telah sampai ke lokasi dapati ada kumpulan motosikal berada di sana. Apabila URB sampai, suspek dikenalpasti membuat bising dengan bunyi eksoz yang kuat. Suspek cuba untuk melarikan diri dan terjatuh ketika cuba membuat pusingan,” katanya.

Beliau menambah, suspek dan motosikalnya dibawa ke IPD Shah Alam  untuk tindakan lanjut. 

Jelas Mohd. Iqbal, susulan penahanan mat rempit terbabit, polis mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan dan motosikal miliknya juga disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, tindakan anggota pasukan URB yang menahan lelaki berkenaan dirakam dan dimuat naik oleh salah seorang daripada pengunjung dataran tersebut dalam media sosial.

Video berkenaan, kemudian tular dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna yang rata-ratanya bersetuju dengan tindakan anggota polis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya