Manop perlukan bantuan urus adik lumpuh

Manop perlukan bantuan urus adik lumpuh

MANOP Cham Ren (kanan) menguruskan adik keduanya, Sornram yang terlantar akibat penyakit saraf ketika ditemui di rumah saudara mereka di Kampung Pegang, Kuala Pegang di Baling. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tanggungjawab seorang abang terhadap adiknya yang terlantar sakit tidak dilupakan, namun kadang-kala dia resah mengenangkan perbelanjaan yang perlu disediakan untuk menanggung pelbagai perkara.

Manop Cham Ren, 36, yang hanya bekerja sebagai penoreh getah berkata, keadaan mula berubah apabila adik keduanya, Sornram lumpuh akibat penyakit saraf yang dihidapinya kira-kira dua bulan lalu.

“Hasil daripada pemeriksaan doktor, adik disahkan mengidap penyakit saraf dan memerlukan penjagaan rapi setiap hari kerana pergerakannya terbatas melainkan hanya terlantar di atas katil.

“Sebelum itu, dia mengidap penyakit gastrik dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, doktor beritahu imunisasi sedang menyerang saraf-sarafnya menyebabkan Sornram menjadi lumpuh” katanya ketika ditemui di Kampung Pegang, semalam.

Menurutnya, sebagai abang sulung, dia bertanggungjawab ke atas Sornram, selain turut menjaga kebajikan adik bongsunya yang masih belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh di Johor.

Buat masa ini, mereka tinggal di rumah ibu saudara bagi menjaga keselamatan dan kebajikan Sornram setelah ibu bapa mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Manop berkata, sebelum terlantar sakit, Sornram pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sungai Petani, tetapi kini tidak dapat lagi bekerja kerana mengidap penyakit tersebut.

Katanya, keadaan badan adiknya yang seberat 120 kilogram (kg) juga mulai susut menjadi 80kg ketika ini kerana tiada selera makan dan hanya bergantung kepada susu khas.

“Saya hanya bekerja sebagai menoreh getah dengan pendapatan sebanyak RM1,500 untuk menyara kami tiga beradik. Pendapatan ini tidak cukup kerana Sornram memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli lampin pakai buang, susu khas, ubat-ubatan serta kos ulang alik ke hospital.

“Sebelum ini Sornram memerlukan katil khas untuk dia tidur dengan lebih selesa dan saya amat gembira kerana rakan-rakannya sendiri telah menyumbang katil tersebut kepadanya,” katanya.

Orang ramai yang simpati terhadap nasib tiga beradik berkenaan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Manop 108075044098 atau menghubunginya di talian 013-4531674.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya