Mangsa gempa trauma, perlukan sokongan moral - Utusan Malaysia

Mangsa gempa trauma, perlukan sokongan moral

SEORANG wanita berdiri di atas runtuhan bangunan ketika mencari ahli keluarganya yang masih belum ditemukan di Hatay, Turkiye. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan wa­nita dan kanak-kanak, khusus­nya yang berjaya diselamatkan selepas beberapa hari ‘bertarung nyawa’ untuk kekal hidup di bawah runtuhan bangunan susulan gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, amat memerlukan sokongan moral.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Wanita Syria (SWA), Lubaba Tayfour berkata, mereka juga melalui detik-detik penuh trauma termasuk kehilangan ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Malah jelasnya, sukarelawan-sukarelawan SWA yang berpangkalan di Turkiye dan utara Syria turut berdepan isu sama.

“Mereka ini bertarung nyawa untuk kekal hidup di bawah runtuhan bangunan selama beberapa hari sebelum diselamatkan. Antara wanita yang terlibat adalah pekerja-pekerja SWA di bawah runtuhan bangunan pejabat.

“Kalangan mereka, ada ahli keluarga dan saudara-mara yang terkorban termasuk yang masih belum ditemukan mahupun dikesan selepas tragedi itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

SWA merupakan pertubuhan kemanusiaan ditubuhkan pada 2006 di Amman, Jordan dan berdaftar secara rasmi sekitar 2015 di Turkiye, bagi memberi fokus membantu pelarian Syria.

Lubaba memberitahu, SWA mengambil inisiatif memeriksa keselamatan pekerja terlebih dahulu kerana pejabat pertubuhan itu terletak di Antakya, Turkiye dan Al-Janoudiyah, Syria iaitu antara kawasan paling terkesan dengan bencana tersebut.

“Pejabat persatuan kami runtuh sepenuhnya dan beberapa pekerja wanita terpaksa bertarung nyawa di bawah runtuhan sebelum diselamatkan serta dibawa ke tempat perlin­dungan,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pada pukul 4.17 pagi, 6 Februari lalu.

Lubaba berkata, jumlah anggaran kanak-kanak yang terlibat dan menjadi mangsa gempa bumi di barat laut Syria dianggarkan seramai 64 iaitu terma­suk kehilangan penjaga serta masih tidak ditemukan.

Katanya, walaupun SWA turut menjadi mangsa kepada gempa bumi, mereka tetap mengambil inisiatif melalui kumpulan sukarelawan lain iaitu mengagihkan wang ke Antakya supaya dapat diberikan kepada mangsa yang tidak mempunyai tempat tinggal dan makanan.

“Di Syria, kami belikan khemah untuk dijadikan sebagai tempat berteduh untuk yang memerlukan. Kami bekalkan alat pemanas dan selimut.

“Antara barangan yang amat diperlukan di sini adalah bara­ngan ke­perluan bukan makanan seperti selimut selain makanan kecemasan, air minum, roti, bekalan perubatan dan wang tunai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.