Mahfuz patut bertanding di Derga - Sanusi

Mahfuz patut bertanding di Derga – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyerahkan geran hak milik tanah kepada penduduk Kampung Sri Dacing yang kini dikenali sebagai Kampung Sejahtera di Teloi, Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar lebih sesuai bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman kerana beliau perlu bergantung kepada undi kaum Cina yang ramai di kawasan itu untuk menang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau selesa dengan DUN Jeneri yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang merupakan kawasan asalnya.

“Rumah saya di situ (Jeneri), kampung saya di situ, adik-beradik saya di situ. Dia (Mahfuz) saya tak tau kampung mana, adik-beradik dok (tinggal) mana, pasaipa (kenapa) dia suruh saya pi situ (bertanding).

“Cadangan biar munasabah dan masuk akal, bagi dia lah bertanding di situ sebab Mahfuz sesuai kerana dia pun akhir-akhir ini bergantung kepada undi (orang) Cina untuk menang. Kalau (pengundi) Cina tak sokong dia dia pun tak menang.

“Bagi dia Kota Darul Aman atau Derga kalau dia nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada harapan dia jadi wakil rakyat (apabila) bertanding di tempat pengundi Cina ramai sebab pengundi Melayu tak mau dia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah dan Perasmian Kampung Sejahtera di Teloi, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dicabar oleh Mahfuz untuk meninggalkan DUN Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi membuktikan sokongan keseluruhan rakyat Kedah terutama di kawasan yang dianggap sukar untuk menang.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah meminta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk berterusan membuat laporan polis terhadapnya berkaitan Pulau Pinang yang merupakan negeri pajakan kepada Kedah.

“Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang sebanyak RM10 juta (sumbangan khas) dan RM10,000 (royalti) sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah. Jadi kalau tak pajak, bayar buat apa, Rayer buta sejarah tak tau apa. Buatlah laporan 100 kali pun memang faktanya macam itu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, 12 buah rumah yang dibina kepada mangsa kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling kini hampir siap dan dijangka boleh diduduki oleh mereka menjelang Ramadan.

“Kita sudah buat cabutan undi (untuk tentukan unit rumah) kepada 12 keluarga terlibat. Mereka pun sudah tahu rumah mana (jadi milik mereka) yang kini hampir siap. Saya janji tak lebih bulan Mac dan kita pun bayar sewa sampai bulan depan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya