KPDN 'jemput' SPRM, polis siasat ketirisan diesel

KPDN ‘jemput’ SPRM, polis siasat ketirisan diesel

SALAHUDDIN AYUB menggunting rambut seorang pelajar secara percuma sempena Program Usahawan Muda 2023 Peringkat Negeri Johor di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu perlu diambil sekiranya siasatan dalaman yang dijalankan pihaknya mendapati terdapat kesalahan undang-undang lebih serius.

“Biasanya, kementerian akan melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu kerana kita ada unit yang membuat audit dan siasatan. Namun, sekiranya isu itu serius dan kita temui pelanggaran undang-undang, kita tidak keberatan menyerahkan kes kepada polis atau SPRM.

“Kita akan beri kerjasama bagi memastikan ketirisan dapat diminimumkan kerana kita tidak mahu dalam pembentangan bajet akan datang atau dalam mana-mana laporan, ketirisan subsidi diesel ini masih lagi menjadi isu,” katanya selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2023 (PUM 2023) di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDN, Datin Roszanina Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Governan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kamaludin Daud; Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bahru, Noor Aidi Nadzri serta Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhairi Abd. Rahman.

Salahuddin berkata, KPDN akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berperanan menyalur dan mengawal subsidi diesel kepada nelayan.

“Dalam soal ketirisan subsidi ini, jika KPDN tidak mampu selesaikan sendiri dan memerlukan penguatkuasaan lebih serius, saya tidak keberatan membawa hal ini kepada Kabinet supaya beberapa kementerian lain dapat dilibatkan untuk kita benar-benar memerangi isu ketirisan subsidi diesel,” katanya.

Mengenai perkembangan siasatan, Salahuddin memaklumkan, pasukan bertindak khas yang diwujudkan sudah mempertingkatkan kawalan serta tindakan penguatkuasaan mereka.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan terdapat ketirisan bernilai hampir RM10 bilion dalam subsidi diesel yang diseleweng pada tahun 2022.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menjelaskan, pelaksanaan inisiatif Rahmah tidak melibatkan sebarang dana awam, sebaliknya dijayakan sepenuhnya dengan sokongan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menangani kos sara hidup secara kolektif.

“Usaha kecil ini nampaknya mendapat sambutan, tetapi saya tidak berani katakan ia adalah program bagi mendepani kos sara hidup yang telah berjaya 100 peratus.

“Namun sekurang-kurangnya berdasarkan maklum balas diterima, pelaksanaan Menu Rahmah benar-benar membantu golongan memerlukan pada saat ketika perut kosong dan mereka tidak ada kemampuan, sekurang-kurangnya pada masa itu ada tempat untuk mereka makan,” katanya sambil memaklumkan inisiatif tersebut telah memberi impak positif. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN