KKM laksana audit atasi kesesakan hospital - Utusan Malaysia

KKM laksana audit atasi kesesakan hospital

Audit kesesakan
DR. Zaliha Mustafa ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas menyaksikan perasmian Hospital Tanjong Karang yang baharu oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) merangka beberapa langkah bagi mengatasi masalah kesesakan di hospital termasuk melakukan audit dengan pihak berkaitan melibatkan semua pemegang taruh dan pengarah hospital.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengakui masalah yang dihadapi itu yang turut melibatkan Bahagian Kecemasan hospital.

“Kita terus menemui pihak berkenaan secara berkala supaya dapat memahami masalah yang dialami dan mengatasinya.

“Selain itu, ada perkhidmatan hospital yang boleh kita guna pakai termasuk membina hospital atau wad short stay,” katanya pada sidang akhbar sempena perasmian Hospital Tanjong Karang baharu, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan merasmikan hospital itu menyeru KKM melihat keperluan fasiliti kesihatan negeri ini secara menyeluruh terutama melibatkan proses menunggu yang lama di hospital.

Baginda bertitah, lebih tujuh juta rakyat negeri ini memerlukan banyak fasiliti kesihatan dengan kemudahan peralatan terkini. 

Menurut Zaliha, kementeriannya turut bercadang menyediakan wad transit bagi pesakit yang tidak dapat discaj.

“Wad itu berfungsi menempatkan pesakit buat sementara waktu sebelum keluarga mengambil mereka. Langkah ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan dan menunggu tempoh masa lama bagi pesakit baru,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM akan menempatkan lebih ramai doktor gigi sebagai langkah menyelesaikan isu kesesakan pesakit di klinik kesihatan kerajaan.

“Tahun lalu, kita mengambil 477 doktor itu berbanding 154 orang tahun sebelumnya sekali gus meningkat hampir tiga kali ganda.

“Usaha itu masih dijalankan dan kita akan menempatkan lebih banyak doktor gigi pada tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya