Kerajaan pertimbang beri insentif peniaga jual Menu Rahmah

Kerajaan pertimbang beri insentif peniaga jual Menu Rahmah

FUZIAH Salleh membantu penyediaan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Padang Kota di Mydin Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan mempertimbang memberi insentif kepada para peniaga makanan yang menyahut inisiatif kerajaan dengan menjual Menu Rahmah secara sukarela.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi menarik lebih ramai peniaga makanan menjayakan program tersebut.

“Setakat ini kita belum umumkan sebarang insentif tetapi ia sedang dibincangkan. Mungkin insentif yang diberi melihat keperluan perniagaan itu. Sebagai contoh, restoran mamak mungkin kita boleh bantu dapatkan tambahan kuota jumlah pekerja dan lain-lain.

“Premis lain yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan mentah pada harga bersesuaian untuk melaksanakan Menu Rahmah ini mungkin kita boleh bantu,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Padang Kota di Mydin, Taman Rinting, Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Fuziah berkata, setakat ini pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran jumlah premis perniagaan yang menjual Menu Rahmah kerana usaha itu dilakukan secara sukarela.

“Penglibatan dalam program Menu Rahmah ini bukan diwajibkan, maksudnya peniaga melibatkan diri secara sukarela. Oleh itu kementerian tidak meletakkan syarat melainkan menu itu termasuk nasi, lauk ayam atau ikan, sayur dan air.

“Kita faham peniaga pun ada kekangan mereka, mungkin soal kos atau kekurangan pekerja, sebab itu sekiranya boleh kami mahu lebih ramai penjaga sahut seruan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN