Kenyataan Ramasamy umpama 'liabiliti' kepada PH - Utusan Malaysia

Kenyataan Ramasamy umpama ‘liabiliti’ kepada PH

ABSHAR NURASYRAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang menggesa sektor perkhidmatan awam direformasikan kerana didominasi kaum Melayu disifatkan bersifat kontroversi yang tidak akan menguntungkan kerajaan, rakyat atau negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf berkata, lebih malang, kenyataan tersebut mungkin menjadi liabiliti kepada semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Katanya, ini bukan kali pertama Ramasamy mengeluarkan kenyataan sebegitu, malah sudah dibuat berulang kali.

“Dalam usaha negara menuju ke arah menjadi Malaysia Madani, sebagai pemimpin nombor dua di negeri Pulau Pinang, beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Isu ramai pejawatan berbangsa Melayu bukanlah satu isu yang besar. Sebaliknya, beliau cuba ‘mencurah minyak ke api’ dengan tujuan untuk mencari perhatian dan sokongan murahan daripada pihak-pihak yang tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abshar berkata, beliau yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum untuk mendapat tempat dalam mana-mana sektor pekerjaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluar daripada mulut individu seperti ini.

“Tindakan memecat beliau juga sewajarnya dilakukan pada ketika ini untuk memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain yang lebih berkaliber dan layak untuk menjadi orang nombor dua di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abshar turut mengingatkan tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya.

“Justeru, ia seharusnya kita semarakkan, bukan dipecahkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya