Hina sahabat Rasulullah, AMK persoal standard ilmu pimpinan Pas

Hina sahabat Rasulullah, AMK persoal standard ilmu pimpinan Pas

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Apakah ini standard ilmu dan adab yang mahu dibawa oleh Pas dalam wacana politik Islam hari ini?”

Demikian kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nadia Nazri berhubung video tular melibatkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilaporkan menghina sahabat Nabi Muhammad.

Nadia berkata, kenyataan Nik Muhammad Zawawi amat membimbangkan terutama kapasitinya seorang pemimpin yang memegang kedudukan tinggi dalam struktur ulama Pas.

“AMK menggesa agar Nik Muhammad Zawawi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam, menarik balik kenyataan tersebut dan memperbetulkan fakta sejarah yang telah disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Beliau mendakwa Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliah, Umar pula digambarkan sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan, kenyataan itu disampaikan dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu.

Nadia berkata, Nik Muhammad Zawawi tidak boleh berlindung di sebalik alasan konteks, potongan video atau salah faham.

Beliau berkata, pimpinan Pas juga tidak boleh berdiam, sebaliknya mengeluarkan pendirian rasmi parti itu berhubung isu mengaitkan wakil rakyatnya.

“Saranan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan agar kontroversi ini dibincangkan ‘secara dalaman’ wajar dipersoalkan kerana isu ini melibatkan keresahan awam yang menyentuh kefahaman umat terhadap kedudukan para sahabat Rasulullah SAW.

“Apabila kenyataan dibuat di pentas awam, disebarkan kepada masyarakat dan mengundang kekeliruan umat, maka pembetulannya juga mesti dibuat secara terbuka,” katanya.

Tambahnya, dalam Islam, ilmu mesti datang bersama amanah, maka kesilapan seperti itu bukan sahaja boleh mengelirukan kefahaman dan menjadi bahan fitnah tetapi boleh merosakkan adab umat terhadap tokoh-tokoh besar Islam.

“AMK berpandangan bahawa budaya memetik agama secara selektif demi kepentingan politik mesti dihentikan. Islam tidak memerlukan retorik yang melampau. Islam memerlukan ilmu, adab, kejujuran dan tanggungjawab.

“Jangan kerana terlalu ghairah berpolitik, sejarah para sahabat pula menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN