KUALA LUMPUR: Sebaran dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ kepada media selepas ia dibentangkan di majlis perjumpaan 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya, baru-baru ini dipercayai ada kaitan dengan pihak yang sehaluan dengan Rafizi Ramli.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, ini kerana ia secara jelas haluan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang cuba menyampaikan kepada seluruh anggota parti itu bahawa tanpa mereka (haluan Rafizi), PKR berada dalam keadaan yang lemah dan akan gagal jika memasuki gelanggang PRU16.
Beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri mesej yang cuba dimainkan melalui sebaran dokumen tersebut yang Ia bukan sekadar laporan dalaman biasa, tetapi jelas disusun untuk membentuk persepsi bahawa PKR sedang lemah dan kononnya kelemahan itu berpunca daripada kepimpinan tertentu dalam parti.
“Apa yang menghairankan ialah naratif yang dibina sangat selari dengan gerakan politik kelompok tertentu yang sejak kebelakangan ini dilihat lebih gemar bermain persepsi dan tekanan media berbanding memperkukuhkan parti dari dalam.
“Jika benar ada pihak yang membocorkan dokumen dalaman kepada media, tindakan itu amat tidak bertanggungjawab kerana ia memberi peluru kepada lawan politik untuk menyerang PKR,” katanya hari ini.
Dzul Hilmi berkata, budaya politik seperti ini tidak membantu parti menghadapi PRU16, malah hanya menjejaskan keyakinan akar umbi dan rakyat terhadap kestabilan parti.
“Saya juga berpandangan, mana-mana pemimpin yang benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi sepatutnya memperkukuhkan parti secara kolektif, bukannya membina naratif seolah-olah parti hanya kuat apabila berpihak kepada kelompok tertentu dan lemah apabila kehendak politik mereka tidak dipenuhi.
“PKR bukan milik mana-mana individu atau kem. Parti ini dibina atas perjuangan bersama. Sebab itu saya percaya majoriti anggota mahukan politik yang matang, stabil dan berorientasikan kemenangan parti, bukannya permainan persepsi yang akhirnya hanya memecah-belahkan saf perjuangan sendiri,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita menyiarkan artikel yang memaparkan analisis strategik PRU16 Parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya yang mendedahkan naratif yang jauh berbeza.
Dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ menunjukkan bahawa PKR kini sebuah parti yang sedang dalam mod berjaga-jaga, bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi-kerusi utama kini semakin terhakis. – UTUSAN










