PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengenakan sekatan seperti tidak boleh membuat pinjaman, membeli aset dan bekerja dalam kerajaan terhadap mereka yang lari daripada membayar cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dengan status seperti orang yang muflis, LHDN diyakini tidak perlu memburu mereka, sebaliknya individu terbabit akan mencari agensi percukaian itu.
“LHDN tidak perlu bersusah payah mencari dan memburu mereka, lakukan sahaja sekatan tersebut selain tindakan tegas lain termasuk menyita aset dan membekukan akaun bank pembayar cukai yang masih degil.
“RM8 billion (cukai tertunggak) adalah tinggi impaknya, ia lebih tinggi daripada subsidi RM7 billion yang diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun lepas untuk memastikan tarif elektrik kekal rendah untuk rakyat.
“Ini bermakna kerajaan terlepas peluang untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 183,122 individu dikesan lari daripada membayar cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah dengan keseluruhan tertunggak sehingga 31 Disember 2022 mencecah RM8 bilion.
Mereka yang mengelak daripada menunaikan tanggungjawab itu bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia tetapi juga warga asing yang turut gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, LHDN wajar membuka pintu untuk perbincangan secara elok dengan pihak yang tidak membayar cukai dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebagai contoh, mungkin terdapat perniagaan yang terlepas pandang dalam soal pembayaran cukai buat sekian lama, jadi pihak LHDN boleh menyarankan pembayaran cukai secara ansuran supaya tidak terlalu membebankan mereka.
“Sekiranya masih tiada perubahan selepas perbincangan, rampasan harta atau sitaan aset tersebut boleh dilakukan, tetapi sudah pasti syarikat tidak mahu mencemarkan nama baik syarikat mereka.
Jacob George berkata, selain itu, LHDN juga boleh mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mengesan golongan yang tidak membayar cukai ini.
“Sudah pasti 70 peratus daripada isu lari cukai dapat diselesaikan jika pasukan tersebut komited dan dedikasi,” katanya. – UTUSAN










