KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut setelah terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Jalan Karamunsing, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.44 pagi dan sekumpulan pegawai serta anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terjatuh dari tingkap di tingkat 14 ke beranda di tingkat 5 bangunan hotel tersebut.
“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN










