Pendapatan rakyat perlu dipertingkat sebelum perkenal GST - Utusan Malaysia

Pendapatan rakyat perlu dipertingkat sebelum perkenal GST

LIEW Chin Tong pada Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan penyelesaian utama untuk meningkatkan hasil negara, sebaliknya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat supaya lebih ramai layak membayar cukai pendapatan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, cukai penggunaan dalam pelbagai bentuk merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam sesebuah negara, namun ia tidak seharusnya dianggap sebagai ‘silver bullet’ atau penyelesaian tunggal kepada cabaran fiskal.

“Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa GST bukan penyelesaiannya. Saya menerima hakikat bahawa cukai penggunaan dalam satu bentuk atau yang lain adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana masyarakat, tetapi ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian utama.

“Dalam satu tempoh sebelum ini banyak negara percaya bahawa cukai penggunaan boleh menggantikan sebahagian peranan cukai pendapatan serta digunakan untuk membolehkan pengurangan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Bagaimanapun, pendekatan tersebut tidak lagi sesuai memandangkan cukai penggunaan secara asasnya bersifat regresif dan memberi beban yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam sesi Fireside Chat dalam pada Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, jika seseorang memperoleh RM20,000 sebulan dan membelanjakan RM2,000, kadar cukai yang dibayar berbanding pendapatannya adalah kecil.

Namun begitu, beliau berkata, bagi individu yang memperoleh RM2,000 sebulan dan membelanjakan hampir keseluruhan pendapatannya, bahagian cukai yang ditanggung adalah jauh lebih tinggi.

Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila sebahagian anak muda bergantung kepada skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) untuk berbelanja kerana pendapatan yang tidak mencukupi.

“Pendekatan yang lebih baik ialah memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang mencukupi dan melebihi paras yang membolehkan mereka membayar cukai pendapatan.

“Punca utama bilangan pembayar cukai pendapatan yang masih rendah ialah gaji median negara yang kini hanya sedikit melebihi RM3,000 sebulan.

“Jika 50 peratus pekerja dalam sektor formal memperoleh pendapatan sekitar paras itu atau lebih rendah, bagaimana mereka mahu membayar cukai pendapatan?,” soal beliau.

Chin Tong berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan semula pelaksanaan GST.

“Jika kita mencapai gaji median RM4,000 sebulan, maka kita boleh membuka semula perbahasan mengenai GST kerana ketika itu lebih ramai rakyat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan kita boleh menentukan pada tahap mana cukai tersebut sesuai diperkenalkan.

“Kita perlu menyelesaikan isu terlalu ramai rakyat yang belum memperoleh pendapatan mencukupi untuk layak membayar cukai. Itulah cabaran asas yang perlu ditangani,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN