PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait projek Jana Wibawa masih diteruskan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan mengenainya belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kertas siasatan masih belum siap dan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Ditanya apa tindakan terhadap Muhyiddin yang dianggap mengganggu siasatan kes, Azam bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.
“Saya tidak boleh komen tapi siasatan terhadapnya kita teruskan seperti biasa,” katanya.

Sabtu lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa dan mendakwa beliau bukan suspek utama kes itu.
Pada masa sama Azam berkata, beliau tidak menolak ramai lagi individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan kes itu malah pegawainya kini sedang menyiapkan beberapa kertas siasatan.
“Siasatan masih lagi dijalankan di mana beberapa kertas siasatan telah dibuka dan yang telah siap kita sudah dikemuka ke peguam negara malah, sudah pun dijalankan pertuduhan.
“Jadi saya tidak menolak, mana-mana pihak pun bukan sahaja pemimpin sekiranya terbabit dalam menerima suapan untuk sesuatu perkara yang menyalahi akta, maka kita akan cadangkan pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa SPRM menjalankan pendakwaan terpilih, Azam berkata, SPRM menjalankan siasatan dengan profesional dan ia bergantung kepada aduan dan maklumat diterima.
“Bila kita terima satu maklumat dan aduan dan ia mengandungi kesalahan jenayah dan di bawah akta kami maka siasatan akan dijalankan. Kita (SPRM) bukan satu alat untuk mana-mana parti politik, kita jalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya.
Sebelum ini Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta. – UTUSAN










