Imigresen Kelantan tiada kaitan dengan ejen - Utusan Malaysia

Imigresen Kelantan tiada kaitan dengan ejen

AZHAR ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Imigre­sen Malaysia (JIM) Kelantan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan ejen yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui pasport secara dalam talian dengan bayaran RM40 untuk setiap satu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Azhar Abd. Hamid berkata, JIM Kelantan tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menawarkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

“Saya ingin tegaskan apa yang berlaku itu hanyalah salah faham kerana kita memberi pilihan kepada orang ramai sama ada mereka mahu berurusan di kaunter atau secara dalam talian bagi urusan pembaharuan pasport,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Azhar memberitahu, sejak JIM memperkenal pembaharuan pasport secara dalam talian dan terdapat individu yang kurang mahir memohonnya menyebabkan kios-kios tersebut muncul dengan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

“JIM Kelantan pernah turun ke lapangan dan menasihati pengusaha kios supaya tidak memperdaya pelanggan dan menerangkan perkhidmatan sebenar yang ditawarkan. Ketika ini, tinjauan mendapati sekitar empat kios menawarkan perkhid­matan bersangkutan dengan pasport online ini.

“Mereka ini telah menaikkan poster menawarkan perkhidmatan pasport online dan JIM Kelantan sudah membuat teguran. Kewujudan kios ini bukan hanya di Kelantan, tetapi di negeri lain yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Perkhid­matan yang ditawarkan kios pula tidak hanya yang berkaitan jabatan ini, tetapi melibatkan perkhidmatan agensi lain” katanya.

Azhar berkata, semua caj tersebut tidak masuk kepada akaun pihak JIM sebaliknya mereka yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, kadar bayaran pasport yang dikenakan oleh kerajaan adalah RM200 untuk tempoh lima tahun.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan dakwaan ejen mengaut untung sehingga RM40 bagi memperbaharui setiap pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di KB Mall di sini memang berlaku sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan melibatkan pegawai Imigresen.

Tinjauan mendapati, kios yang berada di luar pejabat Imigresen berkenaan mengenakan bayaran berjumlah RM239 kepada setiap pemohon bagi memudahkan mendapat pasport terlibat.

Bayaran itu melibatkan kos keseluruhan termasuk perkhidmatan mengambil gambar dan upah mengisi borang secara dalam talian untuk kerja-kerja memperbaharui ‘buku merah’ berkenaan.

Sedangkan amalan biasa bayaran bagi pembaharuan pasport yang ditetapkan Jabatan Imigresen (JIM) adalah seba­nyak RM200.

Pengalaman dilalui wartawan akhbar ini di UTC tersebut mengesahkan dakwaan wujudnya kiosk yang menyediakan perkhidmatan membaharui pasport secara online berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.