MELAKA: Ibu dan bapa kepada anggota Tentera Darat yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan di sini Selasa lalu, masih berharap Lans Koperal Edrin Baintim, 25, selamat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Meskipun sudah lebih empat hari operasi mengesan mangsa tidak menemukan sebarang petunjuk, mereka kekal positif menantikan khabar berhubung anak bongsu daripada 10 adik beradik itu.
Seorang abang mangsa, Andy, 28, berkata, Edrin adalah seorang anak yang sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap keperluan keluarga mereka yang berasal dari Tongod di Sandakan, Sabah.
Dia berkata, kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa sambutan Tahun Baharu Cina di rumah kakaknya di Klang, Selangor sebelum anggota Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor itu menjalani kursus juruselam Eksesais Pari Harimau.
“Ibu bapa di kampung kekal positif berharap khabar baik daripada Edrin. Dia anak yang sangat baik, bertanggungjawab dan sentiasa mencuba meluangkan masa bersama keluarga, meskipun sibuk dengan tugasnya sebagai komando.
“Saya tahu kehilangan Edrin pukul 4 petang pada hari kejadian. Kemudian, saya hubungi sepupu yang juga askar di Kem Iskandar untuk pengesahan.
“Kali terakhir kami berjumpa adalah semasa cuti Tahun Baharu Cina lalu di rumah kakak saya di Klang, Selangor. Saya masih berharap Edrin selamat, walaupun operasi SAR sudah memasuki hari keempat semalam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa latihan juruselam dijalani Edrin sebelum dikhuatiri lemas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebelum didapati hilang, mangsa dan pasukannya telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan kemudian diteruskan ke kedalaman 120 kaki. – UTUSAN