KUALA LUMPUR: Hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika dihitung hutang dan liabiliti, perkara itu mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.
Justeru Anwar berkata, beliau memilih untuk menghidang belanjawan keadaan sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan angka-angka yang memukau.
“Belanjawan 2023 yang dirumuskan saya sebagai Belanjawan Madani ini ialah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global sarat dengan ketidaktentuan.
“Lantaran itu saya akan mulakan dengan menghurai fakta dan cabaran sebenarnya yang membelit ekonomi dan tantangan kepada kita di Parlimen dan di negara, apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu.
“Hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023. Jika dihitung hutang dan liabiliti, kita mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.
“Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah 46 bilion ringgit atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023.
Tambah Anwar, bayaran RM46 bilion itu hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman.
“Dewan yang mulia ini harus diingatkan, sudah 25 tahun Kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah.
“Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA dan itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang untuk membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang,” jelasnya. – UTUSAN










