Hanya mata petanda mangsa gempa bumi masih hidup

Hanya mata petanda mangsa gempa bumi masih hidup

ANGGOTA SMART menjalankan operasi menyelamat lima sekeluarga yang masih hidup di Nurdagi, Gaziantep di Turkiye. - IHSAN SMART
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menyifatkan penemuan lima sekeluarga yang masih hidup selepas enam hari mereka tertimbus dalam runtuhan bangunan sebagai satu keajaiban sepanjang mereka terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.

Menceritakan kepada Mingguan Malaysia detik itu, Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris yang mengetuai pasukan Bravo di bawah Mas-01 berkata, kejadian pada 11 Februari itu berlaku ketika SAR dijalankan di sebuah tapak pangsapuri enam tingkat yang runtuh dalam gempa bumi di negara itu.

Katanya, sepanjang operasi, kesemua anggota menyedari peluang menemukan mangsa masih hidup agak tipis jika dilihat melalui keadaan runtuhan bangunan serta tempoh yang memasuki seminggu selepas tragedi.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 1.30 petang (waktu Turkiye), pasukan penyelamat terdengar suara dan selepas membuat pemeriksaan menggunakan alat delsa, terdapat pergerakan di bawah runtuhan kedalaman kira-kira dua meter.

“Dua anggota iaitu Koperal E. Saravanan dan Koperal Shahidi Mat Saad dipertanggungjawabkan bagi melakukan ‘cutting’ dan ‘breaking’ dengan menggali terowong menggunakan pemotong besi hidrolik dan pemecah konkrit,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Muhammad Zul Khairi, selepas selesai membina terowong berkenaan, mereka menemukan lima sekeluarga terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki yang tertimbus dalam keadaan berpelukan.

“Ketika ditemukan, semua tidak mengeluarkan suara dan hanya mata bergerak kerana keadaan mereka antara hidup dan mati.

“Kita mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan mangsa seorang demi seorang dengan kerjasama pasukan SAR tempatan dan diserah kepada pasukan paramedik.

“Bagaimanapun kita tidak sangka dapat menemukan mangsa hidup selepas hari keenam tragedi. Malah ada juga pasukan penyelamat lain terjumpa bayi terperangkap keseorangan, ini antara keajaiban di Turkiye,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Zul Khairi berkata, antara pengalaman menyayat hati dilalui pasukan SMART apabila menemukan mangsa-mangsa gempa bumi terutama ibu dan anak dalam keadaan mati berpelukan.

“Selain lima mangsa tersebut, pasukan SMART turut menemukan 47 lagi mangsa telah meninggal dunia sepanjang 10 hari operasi SAR,” katanya.

Muhammad Zul Khairi antara 74 anggota SMART yang kini sedang menjalani kuarantin di Istanbul, Turkiye sebelum pulang ke ibu negara pada 28 Februari ini melalui penerbangan Turkish Airlines.

Selain itu, beliau antara pasukan pertama SMART tiba di Gaziantep sejak 7 Februari lalu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan kemanusiaan bagi mencari mangsa gempa bumi di Turkiye.

Pada 6 Februari lalu, gempa bumi besar pada magnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria hingga meragut puluhan ribu nyawa dan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus serta Lubnan.

Susulan itu, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah, iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN