Guru SMK Arau kongsi duit sedia makanan kepada pelajar duduki SPM - Utusan Malaysia

Guru SMK Arau kongsi duit sedia makanan kepada pelajar duduki SPM

NORYAH Md. Noh melihat para pelajar menyediakan makanan yang disediakan secara percuma sepanjang tempoh mereka menduduki peperiksaan SPM di SMK Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau mengambil inisiatif terpuji berkongsi duit sesama mereka menyediakan sarapan pagi kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga 13 Mac ini.

Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut juga mengambil inisiatif sama dengan menyediakan makan tengah hari kepada pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Pengetua SMK Arau, Noryah Md. Noh berkata, inisiatif yang diketuai guru kaunseling, Effa Khairunisak Othman itu secara tidak langsung membantu meringankan beban pelajar yang kebanyakkan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Katanya, inisiatif itu bakal diterus dan diperluaskan lagi kepada pelajar lain dalam sesi persekolahan selepas ini.

“Pelajar yang datang ke sekolah sebelum menduduki dan selepas peperiksaan itu boleh menyediakan sendiri roti bakar yang disediakan di ruang di depan dewan peperiksaan itu.

“Kita mengambil inisiatif mengumpul dana sesama guru untuk menyediakan keperluan makanan ini. Insya-Allah selepas ini kita akan perluaskan lagi kepada pelajar tingkatan lain.

“Pada tengah hari, pihak PIBG juga mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma dengan pelbagai jenis menu untuk para pelajar ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seramai 127 pelajar sekolah berkenaan mula menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini sehingga 13 Mac depan bagi sekolah itu.

SALAH seorang pelajar menyediakan roti bakar sendiri yang disediakan pihak sekolah secara percuma kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Sementara itu, seorang pelajar, Anutre Suchart,18, berkata, inisiatif tersebut sangat membantu para pelajar yang menduduki peperiksaan yang kadang-kala tidak sempat bersarapan di rumah.

“Kami dapat mengisi perut sebelum menduduki peperiksaan. Terima kasih kepada pihak sekolah yang menyediakan sarapan pagi kepada kami secara percuma.

“Inisiatif yang diambil pihak sekolah ini sangat baik dan cukup-cukup membantu kami para pelajar yang menduduki peperiksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya