Enam hab EV dipasang di hotel terkemuka di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Enam hab EV dipasang di hotel terkemuka di Cameron Highlands

KAMARUDDIN Ibrahim (tiga dari kanan) melihat cara mengecas kenderaan berkuasa elektrik di hab atau stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di sebuah hotel di Cameron Highlands, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak enam hab atau stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dipasang di sebuah hotel terkemuka di sini bagi memenuhi permintaan tinggi pelancong khususnya dari Singapura.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Fraser (Tourism Pahang), Kamaruddin Ibrahim berkata, pemasangan itu merupakan perintis dan akan diperluas ke hotel-hotel lain yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini.

Menurutnya, enam unit EV bernilai kira-kira RM20,000 itu merupakan sumbangan pelancong dari Singapura, Dr. Lim Yee Peen.

“Pemasangan hab EV ini sebagai penghargaan kepada pelancong dari Singapura yang pernah mencatat 1.2 juta kehadiran dari negara itu ke sini sebelum pandemik Covid-19.

“Selepas sektor pelancongan negara dibuka, destinasi Cameron Highlands tetap menjadi pilihan pelancong dari Singapura dengan statistik sehingga 800,000 orang tahun lalu,” katanya selepas mewakili Menteri Besar melancarkan hab EV di Cameron Highlands di sini.

Menurut Kamaruddin, kemudahan baharu itu dijangka membolehkan lebih banyak kenderaan milik pelancong yang memiliki kenderaan berkuasa elektrik dicas di hotel penginapan pada satu masa.

Beliau berkata, kewujudan hab EV di pusat peranginan itu membolehkan pengguna kenderaan elektrik supaya tidak lagi bimbang untuk mengakses hab dan mengecas kenderaan mereka, sekali gus memastikan perjalanan jarak jauh sehingga 400 kilometer lebih lancar.

Menurutnya, diharap pemilik hotel di Bukit Frazer, Genting Highlands dan Kuantan turut dapat menyediakan hab EV di premis masing-masing.

Menurutnya, ini kerana pemilik kenderaan berkuasa elektrik semakin banyak selari kemajuan teknologi dan sokongan terhadap alam sekitar.

“Permintaan terhadap hab EV semakin meningkat berikutan ramai berkemampuan menggunakan kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Tourism Pahang komited menjadi sebahagian pengguna EV dengan menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.

“Dengan mewujudkan rangkaian pengecasan EV yang lebih luas, mudah diakses, selesa di banyak hotel memberi keyakinan pelancong domestik dan asing ke destinasi pelancongan di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya