Kerajaan Madani komited pertahan SJKT, SJKC - Fadhlina - Utusan Malaysia

Kerajaan Madani komited pertahan SJKT, SJKC – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan memberi jaminan untuk mempertahankan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara ini sebagaimana tertakluk dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memastikan pendidikan Bahasa Tamil dan juga Bahasa Mandarin terus dipelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa sebagai tanggungjawab kepada komuniti tempatan.

“Kita beri jaminan kepada kepada ibu bapa, masyarakat bahawa tiada SJKT yang akan ditutup. Siapa yang bercerita seperti itu saya pun tidak tahu, tetapi kita akan pertahankan baik SJKT, baik SJKC sebagai mana dalam Akta Pendidikan negara.

“Itu tanggungjawab kerajaan Madani iaitu untuk memastikan SJKT, SJKC serta sekolah kebangsaan kita terus menjadi nadi kepada pendidikan negara,” katanya ketika berucap ketika mengadakan Lawatan Kerja ke SJKT Ladang Kulai Besar, di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, pihaknya juga menggesa masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan menghalang pembelajaran Bahasa Tamil dalam kalangan generasi muda di negara ini.

“Jangan percaya berita tular, jangan sampailah berita tular. Ada pihak mengatakan kami menghalang anak-anak muda belajar Bahasa Tamil. Saya nak tegaskan kita sokong dan dokong terus pengajaran Bahasa Tamil di semua peringkat sekolah.

“Sejak hari pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri, perkara yang tidak pernah beliau pinggirkan adalah soal pendidikan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM4.3 juta untuk pembinaan blok baharu setinggi tiga tingkat yang akan menempatkan enam bilik darjah, prasekolah dan lain-lain.

“Projek ini dijangkakan memakan masa sehingga 52 minggu, bermakna kita sasarkan ia siap tahun depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN