KUALA NERUS: Terengganu melangkah ke pentas akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 selepas membenam cabaran juara bertahan, PDRM 22-20 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini.
Kemenangan tipis itu menyaksikan Terengganu meneruskan momentum tanpa kalah sepanjang musim ini selain mengulangi kejayaan menumpaskan PDRM yang juga penyandang juara tiga edisi berturut-turut, dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Anak buah Hafiizh Zainal turut menebus kehampaan dan memperbaiki rekod pasukan setelah terkandas pada penentuan suku akhir pada musim lalu.
Beraksi di laman sendiri, Terengganu memperoleh lima mata pertama pada minit kesembilan perlawanan menerusi jatuhan try Farid Fauzi.
PDRM bagaimanapun menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi jatuhan try Hakim Ramli sebelum Amirul Aqil Kamsol menyempurnakan sepakan conversion untuk membolehkan pelawat mendahului 7-5.
Pasukan tuan rumah kembali di hadapan 12-7 pada minit ke-23 selepas Josevata Cava Uluvinaceva menyudahkan gerakan cantik pemain Terengganu sebelum Nahsaruddin Ismail menyempurnakan tendangan conversion.
Terengganu melebarkan kedudukan mata 17-7 menerusi try ketiga pada minit ke-35, namun PDRM merapatkan jurang di hujung babak permainan kepada tiga mata selepas memperoleh penalty try apabila pemain tuan rumah melakukan kesalahan berulang ketika bertahan.
Kedudukan 17-14 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, PDRM yang dibimbing K. Dinesvaran pantas menyamakan kedudukan menerusi tendangan penalti tiga mata Amirul Aqil.
PDRM mendahulu perlawanani buat kali pertama 20-17 menerusi penalty try pada minit ke-61 sebelum meneruskan momentum penguasaan permainan walaupun diberi cabaran sengit pemain Terengganu.
Namun, Nahsaruddin muncul sebagai watak pemusnah bagi PDRM selepas berjaya melakukan jatuhan try, dua minit sebelum perlawanan berakhir sekali gus membawa Terengganu ke pentas akhir bertemu Johor pada 28 Jun ini. – UTUSAN









