Duit undi: Ketua cawangan disiasat

Duit undi: Ketua cawangan disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA :  Kira-kira 90 individu dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki menerima RM30 sehingga RM150  di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, aktiviti menerima sejumlah wang itu dikesan selepas seorang Ketua cawangan di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan di soal siasat SPRM.

Selain itu, sebahagian daripada 90 individu yang memperoleh wang tunai berkenaan juga telah dijejaki dan diambil keterangan oleh SPRM bagi siasatan lanjut.

“Satu siasatan telah dimulakan SPRM susulan penularan sebuah video menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada sebuah parti politik bagi tujuan mengundi.

“Ada sebahagian individu yang menerima wang itu tinggal di Terengganu dan ada juga mereka yang pulang mengundi di negeri itu sebagai pengundi luar,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, beberapa dokumen seperti tanda tangan akuan menerima wang tunai oleh kesemua individu terlibat juga diperoleh bagi siasatan.

“Siasatan lanjut masih berjalan mengikut Akta SPRM 2009 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pembelian undi atau perbuatan rasuah ketika tempoh berkempen PRU15.

Siasatan berkenaan dilakukan menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu ekoran dakwaan pemberian wang tunai kepada pengundi sebagai ‘umpan undi’.

Azam menegaskan, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan untuk memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen pilihan raya kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.

Tegas beliau, meskipun ada parti politik menyatakan bantuan kewangan yang diberikan kepada orang ramai adalah berupa sedekah, namun pemberian tersebut tetap satu unsur rasuah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sebelum itu, timbul dakwaan di media sosial bahawa sebuah parti politik telah memberi wang kepada pengundi.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi adalah sebagai sedekah.

Abdul Hadi berkata, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada bersedekah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN