Dua produk krim dikesan mengandungi merkuri

Dua produk krim dikesan mengandungi merkuri

DUA produk kosmetik mengandungi racun berjadual iaitu merkuri membabitkan produk Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual iaitu merkuri membabitkan produk Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, notifikasi produk yang terlibat dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

Beliau turut menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk tersebut yang dikesan mengandungi racun berjadual.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut serta- merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Jelas beliau lagi, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan, diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” ujarnya.

Justeru katanya, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya