KUALA LUMPUR: Penyakit diabetes jenis 2 yang sebelum ini sinonim dengan golongan dewasa kini dikesan menyerang kanak-kanak seawal usia 14 tahun, lantas mencetuskan kebimbangan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, trend itu menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin menular dalam kalangan golongan muda akibat peningkatan faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah tinggi.
“Kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2, ini pada usia semuda seawal 14 tahun. Ini sangat membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu (GPS-Betong) berkenaan statistik terkini penyakit tidak berjangkit khususnya melibatkan peningkatan kes diabetes dan hipertensi bawah 30 tahun.
Katanya, dapatan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada 2025 membuktikan ramai golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun tidak mengetahui mereka berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit.
“Pada 2025, seramai 347,813 individu berumur 18 hingga 30 tahun disaring dan daripada situ kita perhatikan 341,257 atau 98 peratus tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit terdahulu daripada itu.
“Maksudnya mereka tidak tahu akan perkara itu. Keduanya, 11,751 atau 3.4 peratus dikenal pasti mempunyai paras glukosa darah yang tinggi. Daripada yang kita saring itu 34 peratus atau 9,000 lebih diabetes. Yang ketiganya 30,170 atau 88 peratus pula mendapati mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










