Dua anggota Maritim Malaysia minta suapan, pemerasan terhadap nelayan ditahan - Utusan Malaysia

Dua anggota Maritim Malaysia minta suapan, pemerasan terhadap nelayan ditahan

SEMUA suspek (berbaju lokap jingga) diiring keluar selepas mendapat perintah reman di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis serta seorang individu berperanan sebagai orang tengah ditahan berhubung kes suapan dengan melakukan pemerasan terhadap nelayan sebagai perlindungan di perairan negeri ini.

Dua anggota Maritim Malaysia berjawatan Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim gred T4 serta T5 itu ditahan semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan dilakukan suspek terlibat.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia lingkungan 40an.

“Siasatan awal kita dapati suspek disyaki meminta suapan antara RM1,000 hingga RM3,000 daripada beberapa pemilik bot nelayan tempatan sejak dua hingga ke tiga tahun sebelum ini.

“Manakala suspek orang awam itu pula berkerja sebagai nelayan dan dipercayai menjadi orang tengah kepada dua anggota Maritim Malaysia tersebut untuk menerima suapan berkenaan,” katanya.

Tambah sumber itu, jumlah suapan yang diterima dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun daripada seorang pemilik bot nelayan.

“Kita menganggarkan 10 lagi anggota dari agensi berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan kes ini tidak lama lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Dalam pada itu, dua anggota berkenaan serta seorang individu tersebut direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali di Mahkamah Majistret Kangar sehingga 8 Februari depan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.