Dicekup selepas pecah masuk premis jualan perkakasan - Utusan Malaysia

Dicekup selepas pecah masuk premis jualan perkakasan

Premis perkakasan
AHMAD Ridhwan (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas polis dalam serbuan polis berhubung kes pecah masuk sebuah premis jualan barangan perkakasan, di IPD Kuala Langat, Kuala Langat, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lima lelaki bekerja sebagai juruteknik ditahan polis selepas memecah masuk sebuah premis jualan barangan perkakasan dan mencuri mesin pertukangan dekat Kampung Medan, Telok Panglima Garang, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, tangkapan tersebut dibuat dalam operasi berasingan selepas polis menerima laporan daripada pemilik kedai terbabit pada hari tersebut.

“Bertindak atas maklumat, pada 12 Februari pukul 5 petang, sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang menangkap dua lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Sungai Kapar, Klang.

“Hasil soal siasat, pada pukul lebih kurang 6.30 petang, serbuan kedua dibuat dan polis memberkas tiga lagi lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, berdasarkan maklumat daripada pemilik kedai, pencuri berkenaan mencuri mesin gergaji, grinder, hacker, mesin pemotong pokok, pemotong besi, hammer drill dan grinder battery.

Jelas Ahmad Ridhwan, dalam serbuan tersebut polis turut menemukan dan merampas barangan dipercayai dicuri seperti dua unit cordless brushless rotary hammer, satu set cordless multi tool dan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama.

Kata Ahmad Ridhwan, dua suspek bekerja di bengkel kereta manakala tiga suspek lagi bekerja sebagai juruteknik membaiki penghawa dingin.

“Hasil semakan ke atas kesemua suspek yang berumur lingkungan 27 hingga 38 tahun itu mendapati masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Kesemua suspek direman selama empat hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya