Demi ayah, Fairuz Hussein lupakan tawaran ke Paris - Utusan Malaysia

Demi ayah, Fairuz Hussein lupakan tawaran ke Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMANYA bukan lagi asing, malah pernah meniti puncak populariti sekitar penghujung era 1980-an. 

Fairuz Hussein pernah diangkat sebagai Ratu Soul kerana kredibiliti dan perjuangannya mengangkat lagu jazz dan R&B. 

Fairuz mewarisi darah seni keluarga, apatah lagi ibu dan bapanya adalah pelakon terkenal iaitu Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail. Fairuz yang dihubungi, baru-baru ini mengimbau kenangan dibesarkan dalam keluarga seni. 

“Ayah saya berlakon dengan Merdeka Productions, manakala ibu pula bekerja dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Jadual masing-masing memang padat. 

“Lantaran kesibukan, saya dan adik-beradik agak jarang berjumpa mereka yang bekerja hingga lewat petang. Jadi, kami membesar di bawah jagaan arwah datuk dan nenek,” katanya pada awal perbualan. 

Fairuz menerima pendedahan dalam bidang seni seawal umur lima tahun. Namun, dia memulakan langkah awal sebagai pelakon. 

“Arwah ayah mahu saya, Dilla dan Faizal tumpukan dalam bidang lakonan kerana sudah didedahkan sejak kanakkanak lagi. 

“Pada usia lima tahun, saya muncul dalam  filem Kudrat yang dibintangi Allahyarham S. Kadarisman. 

“Walaupun berlakon sejak kecil, minat saya terhadap dunia lakonan tidak mendalam,” katanya. 

Bercerita lanjut, penyanyi berusia 57 tahun ini memaklumkan, dia menyimpan minat yang mendalam terhadap seni lukis. 

“Ketika usia belasan tahun, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di sebuah universiti di Paris, Perancis. Bagaimanapun, arwah ayah tidak membenarkan kerana enggan berjauhan dengan saya. 

“Rezeki saya dalam bidang tersebut tidak tamat di situ apabila diterima sebagai pereka gra k untuk sebuah majalah terkenal,” kongsinya. 

Bercakap tentang nyanyian, kata Fairuz, minat terhadap bidang seni tersebut timbul sejak dia di bangku sekolah lagi. 

“Saya sering menyanyi bersama band di majlis kahwin sebelum menjadi penyanyi profesional. Saya juga sering menyertai pertandingan nyanyian yang dianjurkan di sekolah. 

“Muzik adalah sebahagian hidup saya. Saya belajar bermain gitar dengan bapa saudara ketika usia belasan tahun,” jelasnya. 

Fairuz mula menyanyi secara profesional ketika umurnya mencecah 20 tahun. Pengalaman awal ditimba bermula di hotel. 

“Langkah dalam bidang nyanyian secara profesional bermula ketika saya ditawarkan menyanyi di sebuah hotel di ibu kota. 

“Ketika itu, saya sangat teruja untuk membuat persembahan dan tidak kisah tentang bayaran, asalkan dapat menyanyi. 

“Saya dibayar tinggi, sekitar RM1,500. Jumlah itu, dianggap cukup besar nilainya pada ketika itu,” katanya.

Bimbingan Adnan Abu Hassan

BAKAT penyanyi ini digilap komposer terkenal Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang bertanggungjawab membimbingnya sebagai artis rakaman. 

Fairuz menceritakan titik pertemuan dengan komposer yang banyak menghasilkan lagu malar segar itu. 

“Saya bertemu arwah ketika menyanyi di hotel Holiday Inn. Ketika itu, arwah mencari penyanyi untuk membawakan lagu tema Kementerian Pembangunan Wanita. Pengarah hotel ketika itu mencadangkan nama saya. 

“Kerjasama kami tidak terhenti setakat itu. Arwah menawarkan saya untuk merakamkan album, Kali Pertama berentak jazz fusion dan mengikat kontrak bersama Sony Music pada 1988. 

“Ketika pembabitan awal sebagai artis rakaman, saya turut ditawarkan untuk membuat konsert. Tetapi, saya terpaksa tolak tawaran tersebut kerana terikat dengan persembahan lain. 

“Untuk album tersebut, saya berpeluang ke Jakarta, Indonesia dan merakamkan beberapa lagu di sana. Di situ, saya sempat bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia seperti Harry Sabar dan Elfa Seciora,” katanya.

Artis pertama keluar CD

PENYANYI kelahiran Kuala Lumpur ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi Asia Tenggara pertama tampil dengan album berbentuk cekera padat (CD) menerusi Kali Pertama. 

Bercerita mengenainya, Fairuz tidak menduga diberi kepercayaan dan penghormatan sebesar itu. 

“Ketika itu, Jepun adalah satu-satunya negara yang mengeluarkan album dalam bentuk CD. Tiada negara lain di Asia yang melakukan perkara itu. Jadi, saya sangat berbesar hati apabila mendapat kepercayaan tersebut. 

“Saya masih ingat perhatian diterima cukup besar sampaikan agensi berita dan majalah luar negara seperti Hong Kong turut bertanyakan saya perkara itu. 

“Disebabkan pencapaian itu, CD album tersebut diabadikan di Muzium Negara sehingga ke hari ini,” kongsinya.

Berehat panjang

PADA 1991, Fairuz memutuskan untuk berehat dari dunia nyanyian kerana kecewa dengan politik kotor yang terpaksa dihadapi ketika bersama syarikat rakamannya. 

Kata Fairuz, keputusan yang diambil adalah tepat untuk lari daripada permainan dunia hiburan yang bersifat toksik. 

“Saya kecewa dan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak. Disebabkan itu, mereka menganggap saya sebagai musuh. Pada masa sama, persaingan juga hebat. 

“Saya ambil keputusan berehat dan menghilangkan diri, selain banyak terlibat dengan pementasan teater, menjadi penyanyi latar dan membina keluarga. 

“Bukan mudah untuk saya bina nama dalam industri kerana ia melibatkan banyak pengorbanan dan kerja keras. Saya lalui semua fasa itu sebelum mengundur diri pada 1991,” kongsinya. 

Kemunculan semula Fairuz selepas sembilan tahun mengejutkan ramai pihak. Pada 2004, Fairuz mengorak langkah dengan album ketiga berjudul Anugerah. 

“Saya buat album sendiri dan Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Ramai pihak terkejut saya muncul semula dalam industri. 

“Saya percaya pada rezeki yang ditentukan. Saya tidak sangka, peminat masih mencari dan ada juga peminat baharu yang mula mengikuti perjalanan muzik saya,” jelasnya.

Definisi bukti masih relevan

BAGI mengubat rindu peminat, Fairuz telah menghasilkan sebuah extended play (EP), De nisi. 

EP memuatkan tiga lagu lamanya, termasuk Let’s Dance, When I’m Gone dan Cahaya yang diperkenalkan semula. 

“Ini adalah usaha untuk saya kekal relevan dalam industri seni. Maklum balas yang saya terima terhadap EP ini sangat positif sehingga ada yang beranggapan saya keluarkan lagu baharu. 

“Ketiga-tiga lagu ini dimuatkan dalam album Anugerah, tetapi kurang mendapat perhatian. 

“Jadi, saya terbitkan semula untuk mengingatkan peminat terhadap lagu tersebut,” katanya yang bakal tampil dengan single baharu, bulan depan. Mac ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya