Bukit Malut: MKN perlu sedia tapak - Utusan Malaysia

Bukit Malut: MKN perlu sedia tapak

KERAJAAN digesa menyelesaikan isu Bukit Malut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyediakan tapak bersesuaian bagi membolehkan pembinaan rumah yang lebih tersusun dan sah mengikut undang-undang dapat dibangunkan kepada penduduk Bukit Malut di Langkawi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, secara dasarnya hasil perbincangan antara wakil kerajaan negeri dengan MKN kira-kira dua bulan lalu, agensi itu bersetuju menyokong sekiranya ada usaha membangunkan kediaman tersebut.

“Cuma saya kata, MKN kena sediakan tapak, sebelah itu (penempatan sekarang) ada tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). MKN kena bagi tanah LKIM itu kepada pemaju untuk dibangunkan, baru boleh jual (rumah) de­ngan harga lebih baik.

“Kalau tidak, tanah tempat lain mahal, rumah depa (mereka) tak akan boleh dijual dengan harga yang mampu dimiliki. Tanah Langkawi sangat-sangat mahal jadi kalau LKIM yang buat kolam udang tak menjadi pun, mati macam itu sahaja, boleh jadikan tapak itu sebagai tapak kediaman orang di Bukit Malut,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar kelmarin.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan digesa menyelesaikan segera isu pencerobohan tanah kerajaan di Bukit Malut bagi menge­lakkannya semakin berleluasa pada masa depan.

Memetik sumber, antara agensi kerajaan yang terkesan akibat pencerobohan haram itu termasuk LKIM yang memiliki tanah seluas 110.074 hektar di situ apabila kira-kira 10 peratus keluasan itu didiami secara haram penduduk di kawasan itu.

LKIM dilaporkan perlu menanggung premium tanah mencecah RM700,000 setahun sejak 2016 walaupun tanah yang didiami secara haram itu berpotensi untuk dibangunkan untuk tujuan pembangunan.

Muhammad Sanusi berkata, cadangan perumahan baharu yang lebih sistematik itu perlu dilakukan bermula sekarang, namun mengingatkan harga jualannya tidak terlalu mahal bagi membolehkan tujuan pembangunannya dicapai.

“Ketika kita berjumpa MKN dua bulan lalu itu, mereka seakan-akan nampak jalan (penyelesaian) tetapi lepas itu Kerajaan Persekutuan bertukar, kena taklimat lagi, hari itu sudah dilakukan dan insya-Allah kita tak akan jemu untuk buat taklimat lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.