Bersatu mahu SPRM selesaikan segera isu akaun beku - Utusan Malaysia

Bersatu mahu SPRM selesaikan segera isu akaun beku

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan berhubung pembekuan akaun parti itu bagi memastikan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi berjalan lancar.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh malah segala dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada agensi itu bagi membantu siasatan.

“Peguam yang dilantik parti sudah menghantar surat kepada SPRM meminta supaya siasatan disegerakan bagi membolehkan satu konklusi diputuskan.

“Apabila siasatan selesai, tiada apa yang akan berlaku kerana kita yakin kita tidak bersalah, malah pembekuan akaun dapat ditamatkan segera.

“Apabila pembekuan akaun ditamatkan, kami dapat menjalankan kembali kerja-kerja parti seperti biasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama nelayan di Padang Benggali, Telok Air Tawar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan UMNO itu bimbang dengan kekuatan serta pengaruh yang ditonjolkan Bersatu apatah lagi menjelang PRN.

“Bersatu yakin akan menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu, malah kemungkinan akan menang besar di Selangor, Negeri Sembilan di samping menambah kemenangan bilangan kerusi di Pulau Pinang.

“Kekuatan parti ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Perpaduan yang kini dilihat sedang menyusun strategi untuk melumpuhkan Bersatu,” katanya.

Terdahulu, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

Katanya, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya