Belanjawan Madani

Belanjawan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendidikan, ke­sihatan, keselamatan sosial, kemiskinan tegar, kemantapan ekonomi dan pembangunan in­frastruktur kritikal mendapat per­hatian paling besar dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Sektor pendidikan menjadi pe­nerima dana terbesar membabitkan peruntukan RM55.2 bi­lion yang akan menyaksikan lebih 380 sekolah daif tanpa mengira aliran akan dipulihkan yang akan memastikan kualiti pembe­lajaran ratusan ribu pelajar.

Kerajaan Perpaduan juga mem­peruntukkan RM36.3 bi­lion untuk sektor kesihatan yang sebelum ini dibelenggu masalah kekurangan jawatan doktor te­tap dan kemudahan yang uzur.

Menerusi belanjawan yang dibentangkan, 1,500 perjawatan tetap doktor, pergigian dan farmasi akan diwujudkan tahun ini membabitkan peruntukan RM3 bilion.

Ini adalah pewujudan ja­wa­tan pegawai perubatan tetap te­ramai pernah dilaksanakan ke­rajaan. Beberapa hospital dan klinik juga akan dinaik taraf bagi menangani masalah kesesakan di pusat rawatan milik kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kewangan juga me­ngumumkan usaha besar ‘me­nok­tahkan’ kemiskinan tegar yang membabitkan 130,000 rak­yat termasuk memberikan latihan dan peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Kerajaan juga memperuntukkan RM64 bilion dalam bentuk subisidi, bantuan dan insentif bagi menangani kos sara hidup yang tinggi yang ditanggung rakyat sejak tahun lalu.

Belanjawan 2023 membabitkan RM388.1 bilion merangkumi RM289.1 bilion untuk per­belanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi pembangunan, peruntukan terbesar dalam sejarah 65 tahun negara ini.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa. Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan per­belanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” kata Anwar yang menerajui Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 November lalu.

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen, semalam. – JABATAN PENERANGAN

Dalam ucapan belanjawan selama kira-kira dua jam, Anwar juga memberi amaran mengenai hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion termasuk liabiliti, ketirisan dan rasuah selain tatakelola yang tidak terurus sehingga negara berada dalam kemelut kewa­ngan ketika ini.

Katanya, kerajaan pimpinannya bertekad membaiki sistem pentadbiran dan memastikan pengurusan negara akan dapat dipulihkan, memacu ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial.

Anwar juga menegaskan belanjawan itu adalah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur, yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

“Biarpun ada yang berbeda pandangan politik jangan kita biarkan perbedaan itu menghindar kita daripada melakukan perubahan yang bermakna,” katanya yang meletakkan hala tuju pentadbirannya yang berusia 100 hari itu.

Belanjawan 2023 dijangka dibiaya kutipan hasil berjumlah RM291.5 bilion, pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus berbanding unjuran Bank Dunia dan Fitch sekitar 4 peratus.

Katanya, kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada lima peratus ketimbang 5.6 peratus pada 2022 dan me­nyasarkan 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Isu keterjaminan makanan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, dalam mendepani tantangan kenaikan harga barangan dan gangguan bekalan makanan di mana kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar. Sabah dan Sarawak masing-masing me­nerima RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Kementerian berkaitan ke­selamatan negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan diperuntukkan sejumlah RM18.5 bilion dan RM17.7 bilion bagi memastikan kedaulatan negara dapat dipertahankan terutama negara berdepan aset ketenteraan yang semakin uzur.

“Keutamaan peruntukan ini adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan ke­siapsiagaan pertahanan de­ngan peruntukan hampir RM4.1 bi­lion,” katanya.

Anwar juga mengumumkan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah dan pengecualian duti setem 75 peratus untuk rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN