Bawa Bella ke klinik bukan rekaan - Utusan Malaysia

Bawa Bella ke klinik bukan rekaan

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini menafikan bahawa keterangannya mengenai Bella dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan akibat melecur adalah rekaan semata-mata.

Sebaliknya, tertuduh memberitahu mahkamah sekiranya anak sakit, Siti Bainun akan memberikan rawatan atau melakukan apa yang dia rasa terbaik dan sekiranya anak-anak mahu bercerita, dia sentiasa bersedia untuk mendengar.

Bagaimanapun ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Siti Bainun memberitahu sebagai seorang ibu dia akan beri rawatan kepada anak-anaknya namun keperluan membawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan bergantung kepada tahap kesakitan mereka.

Nor Azizah: Jadi kamu setuju kalau anak kamu sakit, kamu bawa ke klinik?

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Kamu tidak bawa anak kamu ke klinik kalau dia sakit?

Siti Bainun: Ia bergantung pada tahap sakit anak saya. Bearable (boleh tahan sakit) atau tidak.

Nor Azizah: Saya katakan cerita bawa Bella ke klinik adalah rekaan semata-mata?

Siti Bainun: Tak setuju.

Siti Bainun juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya itu bahawa dia tidak berterus terang mengenai rawatan Bella.

Nor Azizah: Setuju dengan saya, kalau kamu bagitahu kamu ada bawa Bella ke klinik atau hospital pada pegawai penyiasat sudah tentu pegawai penyiasat akan menyiasat pegawai (perubatan) ini terlebih dahulu?

Siti Bainun: Tidak setuju.

Pada perbicaraan peringkat pendakwaan, saksi pendakwaan ke-16, Dr. Rashid Khan Khan Mohamad memberitahu mahkamah, Siti Bainun pernah datang ke kliniknya untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kecederaan akibat terkena air panas.

Doktor perubatan Klinik Setapak dan Surgeri itu berkata, wanita terbabit mendakwa kecederaan itu dialami ‘anaknya’ selain mahu mendapatkan ubat untuk dirinya sendiri.

Terdahulu pada sesi pemeriksaan utama, Siti Bainun menyatakan dia berasa pelik apabila saksi pendakwaan pertama, Zurianti Sudin beria-ia menyuruhnya mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital sedangkan kesihatannya ketika itu masih dalam keadaan baik walaupun dijangkiti penyakit itu.

Tambahnya, Zurianty bukan sahaja memaksanya untuk ke hospital malah memberi peringatan jika dia degil ke hospital, dia akan dipisahkan dengan anak jagaannya dengan cara paling sedih.

“Saya tidak tahu mengapa dia buat begitu kerana dia tidak pernah ambil tahu keadaan diri saya.

“Tidak sangka dia boleh buat ke tahap itu kerana sebelum ini kita okay sahaja. Saya kemudian meletakkan batas selepas saya ada anak-anak saya sendiri. Saya ada tanggungjawab saya tetapi sejak itu selalu ada perbalahan antara kami berdua,” katanya ketika disoal peguam belanya, Mohammad Farhan Maaruf.

Menjawab kepada soalan mengenai motif rakannya itu berbuat demikian, Siti Bainun berkata, ia mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati Zurianty selepas tertuduh mendapat hak penjagaan seorang lagi anak angkatnya, Natrah Nor Jeanella kerana saksi itu juga mahukan kanak-kanak itu.

November tahun lalu, mahkamah memerintah Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya