Baru enam hari kahwin, suami maut motosikal langgar lubang

Baru enam hari kahwin, suami maut motosikal langgar lubang

KEADAAN jalan berlubang yang menyebabkan Hairul Hafizi Mursid kemalangan di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Enam hari bergelar isteri dan menikmati detik manis sebagai pengantin, namun Azimah Zahari, 31, reda dengan ketentuan Ilahi apabila suaminya pergi buat selamanya.

Hairul Hafizi Mursid, 34, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dipercayai melanggar lubang dan terjatuh di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Lubuk Kawah, di sini sekitar pukul 10 malam, Jumaat lalu.

Menurut Azimah, kejadian itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya di daerah ini ke rumah mereka di Felda Jengka 17, Maran.

“Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada menunggang motosikal atau menaiki kereta. Pada Jumaat lalu, kami pergi berasingan. Suami tunggang motosikal sebab katanya hendak servis kenderaan itu.

“Dalam perjalanan pulang malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

“Saya melepasi tempat suami terjatuh, tetapi saya pusing semula sebab kenal dengan warna motosikal itu. Tak disangka suami saya yang terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam bagitahu pada saya,” katanya di sini semalam.

Menurut Azimah, dia memanggil suaminya, namun tiada sahutan kerana Hairul Hafizi dalam keadaan separuh sedar dan sedang mengerang kesakitan.

Katanya, orang awam yang berada di lokasi membantu menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan menghantarnya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini.

“Bila tiba di Hoshas, saya mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

“Lepas doktor cakap macam itu, saya betul-betul terkejut, tergamam. Walaupun dia sudah tiada, tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi. Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” ujarnya.

Wanita itu berharap pihak bertanggungjawab segera menyelenggara jalan di kawasan arwah suaminya kemalangan kerana keadaan di situ selalu ada takungan air, licin serta berlubang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya