Bapa dan adik lelaki Rozman pemegang saham terendah dalam LLPM - Utusan Malaysia

Bapa dan adik lelaki Rozman pemegang saham terendah dalam LLPM

ROZMAN ISLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, bapa dan adik lelaki Datuk Rozman Isli merupakan pemegang saham terendah dalam Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) selaku syarikat pengendali sementara Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Adlin Shahira Mohd. Roslan, 31, berkata, Isli Siput (bapa) dan Tony Noolan masing-masing mempunyai pegangan saham sebanyak 31,250 unit daripada keseluruhan tiga juta unit saham berbayar syarikat tersebut.

Ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman, Adlin Shahira bersetuju bahawa berdasarkan jumlah itu, bapa dan adik lelaki tertuduh masing-masing memperoleh 1.04 peratus saham dalam LLPM bagi empat tahun berturut-turut.

Maklumat itu diperoleh daripada dokumen Annual Return Of A Company Having A Share Capital Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. bagi 2017, 2018, 2019 dan 2020 yang difailkan kepada SSM mengikut Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Saksi pendakwaan ke-22 menyatakan demikian pada perbicaraan terhadap Rozman atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator pelabuhan.

Rozman, 57, didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Semalam, mahkamah diberitahu, Mesyuarat Lembaga Pengarah LPL memutuskan LLPM diberikan kebenaran sementara sebagai pengendali Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan selepas pelantikan LP Multi Terminal Sdn. Bhd., ditangguhkan ekoran cadangan Rozman.

Rozman yang ketika itu Timbalan Pengerusi LPL memberi alasan, pelantikan LP Multi Terminal perlu ditangguhkan bagi mengelakkan implikasi politik kepada beliau selaku Ahli Parlimen Labuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Saksi pendakwaan ke-21, bekas Pengurus Besar LPL, Zulkurnain Ayub, 62, berkata, Rozman tidak mengisytiharkan bapa dan adiknya sebagai pemegang saham dalam LLPM.

Terdahulu ketika membacakan pernyataan saksi, Adlin Shahira berkata, pemegang saham tertinggi adalah Pengarah LLPM, Mohd. Alias Abd. Rahman iaitu sebanyak 1,350,000 unit.

Pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abd. Muntaqim Abdul Aziz, saksi berkata, pemegang saham lain ialah dua syarikat, Tunas Rakyat Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 737,500 unit dan DPML Corporation Berhad iaitu sebanyak 200,000 unit.

Ujarnya, pihak SSM membekalkan laporan tahunan itu ekoran permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan maklumat termasuk pemilikan saham syarikat yang berdaftar.

Rozman didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Putrajaya antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 6 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN