Ancaman gajah liar, 25 keluarga Kampung Gemunchor ketakutan - Utusan Malaysia

Ancaman gajah liar, 25 keluarga Kampung Gemunchor ketakutan

PENDUDUK menunjukkan tompokan najis gajah liar selepas haiwan itu menceroboh kawasan tanaman di Kampung Gemunchor di Lipis, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sebanyak 25 keluarga di Kampung Gemunchor di sini bimbang dengan serangan gajah liar se­perti tragedi meragut dua nyawa penduduk Orang Asli di Ulu Jelai baru-baru ini apabila haiwan itu mula menceroboh ke kebun milik penduduk di situ sejak dua minggu lalu.

Kejadian terbaharu apabila kawanan gajah liar masuk ke kebun sawit, pisang dan tanaman komersial pada pukul 8 malam kelmarin dan 4 pagi semalam sehingga menimbulkan ketakutan serta keresahan penduduk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchor, Roslan Idris, 60, berkata, dalam dua kejadian itu, lapan ekor gajah liar termasuk seekor anak menceroboh kawasan tanaman kira-kira 200 meter berdekatan kediaman penduduk sehingga merosakkan 20 batang sawit, pokok pisang dan sayuran.

“Seorang penduduk menye­dari kehadiran gajah liar ini menceroboh kebunnya pada pukul 8 malam dengan mematahkan pelepah dan memakan pucuk sawit serta meninggalkan tompokan najis.

“Sejak kejadian kawanan gajah liar itu datang dari hutan Ulu Tembeling dua minggu lalu dan bersembunyi di hutan pinggir kampung, penduduk mula takut untuk keluar berurusan di pekan Mela terutamanya pada waktu malam,” katanya di sini.

Penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 41, berkata, sejak kemunculan gajah berkenaan di kawasan kebun di kampung tersebut, dia berasa takut untuk menziarahi saudara-maranya kerana sepanjang laluan masuk ke situ berdekatan ladang sawit dan hutan.

“Kita berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat memantau pergerakan gajah liar dan saya difahamkan mereka sudah berada di sini setelah dimaklumkan oleh pihak JPKK.

“Usaha ter­tentu perlu dilakukan dengan segera untuk menghindarkan gajah liar ini menghampiri kediaman penduduk sekali gus ancam keselamatan mereka,” katanya.

Warga emas Kampung Ge­mun­chor, Idris Bakar, 64, berkata, dia yang tinggal bersendirian rasa bimbang kerana rumahnya berdekatan tempat gajah liar menceroboh tanaman penduduk.

“Kita juga bimbang untuk ke masjid pada waktu malam dan awal subuh dikhuatiri diancam haiwan liar berkenaan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.