Ambil serius isu habitat penyu di Segari - Utusan Malaysia

Ambil serius isu habitat penyu di Segari

AHLI pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar mengadakan bantahan di hadapan kawasan pengorekan pasir dan penanaman cerucuk kayu di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak, kelmarin. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Semua pihak khu­sus­nya agensi kerajaan ber­kaitan perlu mengambil serius isu pencerobohan Pantai Pasir Panjang di Segari demi ke­langsungan habitat penyu dan masa depan nelayan pantai.

Pada masa sama, syarikat yang memiliki tanah di kawasan tersebut harus mematuhi undang-undang sedia ada sebelum dibenarkan beroperasi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing berkata, sebarang pembangunan harus diseimbangkan dengan kelestarian alam sekitar.

“Di kawasan Pantai Barat Se­menanjung, penyu hanya mendarat di tiga lokasi iaitu di Melaka, Perak dan Pulau Pinang dengan Pantai Pasir Panjang adalah satu-satunya tempat penyu mendarat dan bertelur di negeri ini.
“Selain itu, jarak dari pantai tersebut hingga lima batu nautika ke laut adalah perairan tumpuan nelayan pantai mencari hasil laut kerana banyak sumber marin di kawasan tersebut,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai pencerobohan terbaharu di pantai tersebut apabila ditemu­kan kesan pengorekan pasir serta penanaman cerucuk kayu disyaki untuk pembinaan jeti.

Tinjauan tersebut juga hampir mencetuskan pergaduhan apabila aktivis alam sekitar dan penduduk kampung yang pergi ke lokasi menggunakan jalan darat didakwa menceroboh dan tidak dibenarkan keluar oleh wakil syarikat sebelum rundingan dilakukan dan dise­lesaikan secara baik.

Menurut May Ing, tinjauan beliau dan aktivis alam sekitar semalam mendapati seolah-olah terdapat aktiviti seperti mahu membina jeti bagi membawa keluar pasir silika dari lokasi tersebut melalui laluan laut.
Pemeriksaan beliau bagai­ma­napun mendapati syarikat terlibat sehingga kini hanya mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi pembinaan kilang keluli yang dicadangkan di situ.

Setakat ini, beliau difahamkan tiada kelulusan diberikan terhadap sebarang aktiviti lain malah pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah pemberhentian kerja di situ tahun lalu yang masih berkuat kuasa sekarang.

 

 

 

Malah, Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) pun belum diperolehi atau disediakan untuk kawasan tersebut.

“Pihak persatuan alam sekitar memberitahu saya mereka tidak membantah aktiviti syarikat tersebut, cuma tidak mahu mereka menggunakan laluan laut kerana ia akan mengancam habitat penyu dan sara hidup nelayan.

“Ia kerana apabila ada jeti, ada pontoon, kemudian kapal besar berulang alik ke situ, penyu tidak akan datang lagi dan nelayan pun akan kehilangan sumber pendapatan kerana tidak boleh menangkap ikan dan hasil laut lagi di situ,” ujar beliau.

Menurut beliau, langkah terbaik ialah syarikat tersebut menggunakan laluan darat jika dibenarkan mengambil dan menjual pasir silika di situ tetapi ia pasti akan melibatkan kos tinggi kepada pengusaha tersebut.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.