KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM230 juta.
MAIPs dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian serius mengenai laporan siasatan tersebut dan memohon orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.
Kata kenyataan itu, masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan berkenaan.
“MAIPs menyerahkan perkara ini untuk disiasat secara telus dan terperinci bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan. Kami komited untuk membantu apa jua proses diperlukan oleh pihak berkuasa dalam melengkapkan siasatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, MAIPs menyatakan komitmen sebagai institusi yang menjunjung amanah umat untuk sentiasa mengekalkan kedudukan utuh dengan mengamalkan tatakelola tertinggi.
Amalan tatakelola berkenaan adalah sebagaimana yang sering ditekankan dalam titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.
“MAIPs turut komited melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam sistem pemantauan dan penyaluran bagi menjamin kelestarian khidmat diberikan, sekali gus memastikan setiap sen dana zakat diuruskan penuh integriti.
“Oleh itu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat, pembayar zakat serta rakan strategik yang sentiasa teguh berdiri bersama MAIPs.
“Sokongan dan kepercayaan berterusan daripada semua pemegang taruh ini adalah nadi utama dalam usaha memperteguh syiar Islam serta memastikan kebajikan asnaf sentiasa terbela di Perlis,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, melaporkan, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kira-kira RM230 juta.
Kedua-duanya berusia 57 dan 61 tahun itu dibenarkan direman oleh Majistret Ameera Mastura selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Azwan Ramli dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati timbalan NGO itu dipercayai memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi. – UTUSAN










