Kayuhan MAIPs salur RM2.7 juta sepanjang 2025 - Utusan Malaysia

Kayuhan MAIPs salur RM2.7 juta sepanjang 2025

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (belakang, tengah) berkenan merakamkan gambar bersama pada Majlis Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 di Bangunan Darul Qada' Tuanku Syed Sirajuddin, Jabatan Kehakiman Syariah Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli menyalurkan bantuan agihan zakat berjumlah RM2.7 juta sepanjang tahun lalu.

Penyaluran sumbangan zakat itu juga telah memberi manfaat kepada seramai 4,375 asnaf daripada golongan kurang berkemampuan di seluruh negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan program itu diharap akan diteruskan pada tahun ini menerusi pendekatan lebih berimpak, holistik dan efisien selari dengan komitmen berterusan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf di negeri ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program ini khususnya kepada seluruh warga kerja MAIPs serta rakan-rakan strategik lain seperti agensi atau jabatan mahu pun individu perseorangan yang telah bertungkus lumus menjayakan gerak usaha ini sepanjang tahun 2025 dan memastikan kelangsungannya,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan mengikuti Majlis Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 di Bangunan Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, jumlah keseluruhan kayuhan yang telah dilaksanakan sejak aktiviti ini diperkenalkan pada tahun 2013 lalu adalah mencecah 1,069 kali.

“Usaha berterusan ini telah memberi manfaat kepada seramai 49,800 orang penerima sehingga ke hari ini, dengan jumlah keseluruhan agihan MAIPs mencecah nilai RM32.074 juta.

“Pencapaian ini sekali gus mencerminkan iltizam berterusan MAIPs dalam memperkasa kebajikan golongan asnaf di Perlis,” katanya.

Mohd Nazim berkata, semua sesi kayuhan yang dianjurkan itu juga diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs dengan berangkat menyantuni serta menyampaikan bantuan secara langsung kepada penerima terpilih.

Katanya, program itu dilaksanakan melibatkan kunjungan ke masjid, kampung dan sekolah di hampir keseluruhan pelusuk negeri ini bertujuan bagi mendekati dan menyelami keperluan golongan asnaf secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Program ini turut mendapat kerjasama padu daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat negeri serta Persekutuan dengan penglibatan aktif ketua-ketua jabatan dan kakitangan masing-masing bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN