MAIPs salur bantuan untuk sekolah agama

MAIPs salur bantuan untuk sekolah agama

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan majlis sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad dan Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM) di Masjid Al-Ghufran, Kangar, Perlis kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak RM280,000 disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam fasa satu Peruntukan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2026 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad dan Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM), Behor Mali.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, dana berkenaan sebahagian daripada strategi MAIPs memastikan sekolah agama kekal kompetitif.

Katanya, sumbangan ber­kenaan menyokong pengurusan dan pembangunan prasarana, serta melahirkan generasi cemerlang akademik dan unggul sahsiah.

“Pemantauan berterusan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan pelajar.

“Fasa pertama ini diharapkan membantu sekolah melaksanakan perancangan tahunan lebih efisien, meningkatkan kualiti pendidikan holistik dan berteraskan nilai Islam,” katanya di sini.

Melalui peruntukan itu SMA Al-Maad menerima RM80,000 manakala SAIM RM200,000.

Majlis berlangsung di Masjid Al-Ghufran disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail me­rangkap Yang Dipertua MAIPs.

Turut hadir Waris Yang Ke­dua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Mohd. Nazim berkata, pe­nyaluran dana ini memperkukuh komitmen MAIPs terhadap sektor Pendidikan Islam di negeri ini.

Katanya, langkah proaktif itu menunjukkan peranan pen­ting institusi dalam memastikan kelestarian Pendidikan Islam di Perlis kekal relevan menghadapi cabaran pendidikan masa kini.

Peruntukan dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar, menjadikan sekolah agama sebagai institusi unggul dan tumpuan utama pendidikan Islam negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×