ADUN Galas mahu pekebun pantau sistem paip di Tanah Tinggi Lojing - Utusan Malaysia

ADUN Galas mahu pekebun pantau sistem paip di Tanah Tinggi Lojing

KAWASAN kebun sayur yang menjadi laluan paip air ke kampung Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mahu lebih 200 pekebun di Tanah Tinggi Lojing di sini, memantau sistem paip yang menyalurkan air ke kawasan perkampungan Orang Asli yang melalui kawasan kebun mereka dengan sempurna.

Mohd. Syahbuddin berkata, ia susulan aduan yang diterima pihaknya daripada masyarakat Orang Asli berkait dengan kerosakan dialami oleh saluran paip itu.

Menurutnya, kejadian cerun runtuh yang membabitkan kebun sayur juga menyebabkan bekalan air paip ke perkampungan Orang Asli juga terputus.

“Saya harapkan pihak yang terlibat terutamanya pekebun sayur supaya lebih prihatin terutamanya untuk memastikan paip-paip yang dihantar ke kawasan rumah penduduk Orang Asli terjaga.

“Jadi sekiranya paip-paip ini melewati atau melintasi kawasan kebun sayur mereka maka pastikanlah agar kawasan paip ini terjaga dengan baik supaya bekalan air dapat terus disalurkan kepada penduduk Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin memberitahu, pihaknya turut mendapat makluman bahawa berulang kali bekalan paip yang terputus disebabkan berlaku runtuhan tanah yang membabitkan kawasan tanaman sayur.

“Kita tahu kawasan ini merupakan kawasan berbukit dan banyak kebun sayur. Namun, kita tidak mahu kawasan penduduk kampung ini terputus bekalan air kerana kawasan ini bergantung sumber air tandak. Selain daripada kerja penyelenggaraan air tandak, kita juga berharap paip-paip yang dipasang ini dijaga sebaik mungkin oleh semua pihak,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kuala Rengil, Rajis Angah, 48, berkata penduduk sering mengalami masalah gangguan air kerana berlaku paip pecah.

Katanya, apabila berlaku masalah gangguan air mereka terpaksa menggunakan air sungai sebagai alternatif lain.

“Kami berharap pihak pekebun lebih prihatin dengan nasib kami yang tinggal di kawasan berhampiran. Sebelum ini beberapa minggu kampung kami terputus bekalan air dan menyukarkan kehidupan kami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya