MELAKA: Pengendali Melaka FC, E. Elavarasan mengakui peluang masih terbuka untuk pasukannya memperbaiki kedudukan biarpun saingan Liga Super berbaki empat perlawanan.
Menurut Elavarasan, kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC kelmarin menjadi suntikan moral terbaik untuk anak buahnya mengutip mata dalam setiap aksi yang akan diharungi selepas ini.
Selepas ini, Melaka akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), disusuli aksi menentang Negeri Sembilan FC sebelum bertemu bertemu Kuching FC dan Imigresen FC.
“Kemenangan ke atas Sabah cukup penting untuk menaikkan semangat pemain. Kita tahu situasi kita dalam liga, jadi tiga mata ini sangat bermakna.
“Kita tidak boleh terlalu selesa, tetapi sekurang-kurangnya kemenangan ini memberi keyakinan untuk menghadapi baki perlawanan,” katanya selepas berdepan Sabah FC, semalam.
Kemenangan 1-0 hasil jaringan pemain import Dino Kalesic itu membolehkan Melaka FC naik ke tangga ke-10 berbanding di tempat ke-12 sebelum ini.
Elavarasan berkata, cabaran getir menanti anak buahnya menentang pasukan elit yang juga juara Liga Super musim ini JDT di laman sendiri pada 28 April ini.
“JDT adalah antara pasukan terbaik dan ia pasti satu perlawanan yang sukar. Tetapi kita akan ambil satu perlawanan demi satu perlawanan.
“Buat masa ini, pemain perlu rehat dan pulih terlebih dahulu sebelum kita kembali membuat persiapan menentang harimau selatan nanti,” katanya.
Tambahnya, fokus utama pasukan kini adalah memastikan mereka tidak mengakhiri musim di kedudukan paling bawah, sambil berharap momentum kemenangan dapat diteruskan dalam baki perlawanan perlu dilalui nanti.-UTUSAN










