Simpan duit di Afrika: Kemuka bukti, jangan fitnah - Anwar

Simpan duit di Afrika: Kemuka bukti, jangan fitnah – Anwar

Anwar Ibrahim disambut oleh para pelajar IPG ketika hadir sempena Majlis Sesi Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Dewan Temenggong, IPG Kampus Temenggong Ibrahim - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mendakwa beliau mempunyai wang berbilion ringgit disimpan di Afrika untuk tampil mengemukakan bukti dan bukan sekadar membuat dakwaan kosong.

Menurut beliau, sekiranya tiada sebarang bukti dikemukakan, dakwaan tersebut hanya akan menjadi sarang fitnah terhadap dirinya dan kepimpinan kerajaan MADANI.

“Macam-macam ada tak payah jawab lah, dia kena ada bukti. Kalau seribu komen (dakwaan) adakah saya kena jawab semua, kalau ada bukti bawalah.

“Macam ini hanya akan jadi sarang fitnah dan sebagainya, saya ada banyak kerja. Makcik mana bagi komen kamu (wartawan) nak layan,” katanya diminta mengulas dakwaan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang mendakwa beliau menyimpan wang di negara Afrika.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kesahihan sebuah rakaman video memaparkan seorang wanita yang mendakwa Anwar memiliki berbilion ringgit serta bersedia untuk berhijrah ke Afrika atau Turkiye sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya.

“Saya tidak dapat memastikan kesahihan kandungan video ini. Namun begitu, pihak yang disebut namanya dalam video tersebut wajib tampil memberikan penafian dan penjelasan.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri didakwa memiliki berbilion-bilion ringgit serta bersedia pada bila-bila masa untuk berhijrah ke Afrika atau Turkiye sekiranya berlaku sesuatu.

“Perkara ini amat serius. Saya berharap dakwaan ini tidak benar. Namun, sekiranya ia benar, maka Malaysia sedang dipimpin oleh seorang individu yang sangat berbahaya,” katanya.

Sementara itu, mengulas krisis di Negeri Sembilan, Anwar berkata, perkara tersebut perlu diselesaikan secara dalaman.

“Negeri Sembilan itu tenang, biar sekarang diuruskan cara undang-undang negeri, ambil masa sedikit tetapi kita serah kepadanya kebijaksanaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN