160,000 warga asing 'lari' dari Afrika Selatan akibat protes - Utusan Malaysia

160,000 warga asing ‘lari’ dari Afrika Selatan akibat protes

PROTES antiimigran dilancarkan rakyat bagi mengusir pendatang tanpa izin di Afrika Selatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Lebih 160,000 warga asing meninggalkan Afrika Selatan dalam tempoh dua bulan lalu susulan peningkatan sentimen dan tindakan ganas terhadap pendatang tanpa izin.

Angka itu berdasarkan pengiraan AFP menggunakan data daripada kerajaan negara ma­sing-masing yang menguruskan penghantaran pulang rakyat mereka.

Afrika Selatan sejak beberapa minggu lalu berdepan gelombang protes di seluruh negara, dengan beberapa insiden bertukar ganas sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya empat pendatang. 

Bagaimanapun, beberapa ke­rajaan asing memaklumkan jumlah kematian sebenar dipercayai lebih tinggi.

Ketika kumpulan xenofobia terus mendesak semua pendatang tanpa izin meninggalkan negara itu sebelum 30 Jun, warga dari beberapa negara Afrika memenuhi pejabat konsulat dan dewan komuniti bagi mendapatkan bantuan untuk pulang ke tanah air.

Kebanyakan mereka hanya membawa barangan keperluan yang mampu dibawa dan bertindak demikian kerana bimbang terhadap keselamatan diri.

Majoriti yang pulang adalah warga Zimbabwe dan Malawi, selain ratusan lagi dari Ghana, Kenya, Lesotho, Mozambique, Nigeria dan Uganda.

Kabinet Zimbabwe dalam kenyataan terkini pada Selasa memaklumkan seramai 108,366 rakyatnya kembali ke negara itu setakat 18 Julai, dengan sebahagian besar pulang secara sukarela.

Malawi pada Isnin memaklumkan lebih 46,890 rakyatnya pulang ke negara itu sejak awal Jun, dengan kerajaan menyediakan 699 bas bagi perjalanan jauh berkenaan. Enam orang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Hampir 2,000 warga Mozambique turut kembali ke negara mereka, berdasarkan angka kerajaan Afrika Selatan.

Sebahagian daripada mereka menyeberangi sempadan de­ngan bantuan kerajaan selepas dua warga Mozambique terbunuh pada penghujung Mei dalam keganasan susulan protes di bandar Mossel Bay, selatan Afrika Selatan.

Mereka merupakan mang­sa pertama yang maut dalam gelombang terbaharu keganasan xenofobia di Afrika Selatan.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan kematian seorang warga Ethiopia dan seorang warga Malawi akibat sentimen anti warga asing. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN