46 kg dadah dirampas, tiga lelaki direman - Utusan Malaysia

46 kg dadah dirampas, tiga lelaki direman

Dadah
S. Sasikala Devi menunjukkan rampasan 123 ketulan mampat dadah jenis heroin dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Edaran dadah untuk 2.5 juta penagih di negara ini tumpas apabila tiga lelaki yang terlibat dalam sindiket tersebut ditangkap polis dalam operasi berasingan di sekitar negeri ini dan Kedah pada 15 Februari lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia 37 hingga 53 tahun itu disyaki mengedar dadah sejak November tahun lalu apabila polis menemukan 123 ketulan mampat (slab) dipercayai dadah jenis heroin dengan berat keseluruhan 46.771 kilogram (kg) bernilai RM4.05 juta.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang bertindak atas maklumat daripada orang awam dan risikan dipercayai sejak November tahun sama.

“Bertindak atas maklumat, pada 15 Februari kira-kira pukul 3.30 petang, sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman menangkap seorang lelaki menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz di Klang dan hasil siasatan polis merampas satu bungkusan mengandungi 10 slab dadah seberat 3.8 kg.

“Lanjutan tangkapan tersebut, pada pukul 4.30 petang sepasukan sama turut menahan seorang lagi lelaki dekat sebuah rumah kedai di Kapar dan polis merampas satu bungkusan plastik hitam mengandungi 113 slab dadah seberat 42.94 kg,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, susulan tangkapan tersebut juga, seorang lagi suspek lelaki ditahan di Kupang, Kedah.

Jelasnya, seorang daripada mereka bekerja sebagai pemandu dekat sebuah kilang sementara yang lain pula tidak bekerja.

Namun semakan jenayah lampau turut menemukan dua daripada suspek mempunyai rekod di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Hiburan 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Bagaimanapun, menurut Sasikala, saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dadah dan kesmeua mereka direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga 22 Februari ini.

Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 38B ADB 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 15 sebatan.

Tambahnya lagi, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM55,000.

“Polis mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada pilis dalam usaha untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dada secara habis-habisan,” tegasnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya