51 individu ditahan, hotel mewah jadi lokasi pesta gay, dadah diserbu

51 individu ditahan, hotel mewah jadi lokasi pesta gay, dadah diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seramai 51 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas dipercayai terlibat dalam parti dadah dan gay di sebuah hotel di ibu negara, Sabtu lalu.

Tangkapan melibatkan 23 lelaki tempatan dan 28 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 52 tahun dilakukan dalam empat serbuan berasingan.

Serbuan itu dijalankan antara pukul 2.35 hingga 5 pagi oleh JSJN Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) dan ketamin (11.61 gram).

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM103,070,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, sebelum serbuan dijalankan, pihak polis mendapati seorang lelaki disyaki terbabit dalam parti berkenaan diusung keluar di lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan menjadikan bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur, menyalahgunakan dadah serta dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan dan semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Keberhasilan ini adalah hasil risikan berterusan pihak JSJN dan Polis Diraja Malaysia yang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” jelasnya.

Hussien menegaskan, JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang serta mengingatkan bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN