PETALING JAYA: Sebanyak 11,369 calon telah mendaftarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan peringkat pusat dan 191 bahagian UMNO di seluruh negara menjelang hari terakhir pendaftaran pemilihan parti itu hari ini.
Jumlah itu turut melibatkan semua sayap membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri dan dijangka meningkat sehingga waktu pendaftaran calon ditutup pada pukul 5 petang.
Malah sebanyak 230 orang daripada 270 calon menawarkan diri sebagai calon untuk merebut jawatan peringkat Majlis Tertinggi dan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Pemilihan UMNO 2023 bulan depan, terdiri dalam kalangan muka-muka baharu.
Perkembangan itu termasuk perebutan tiga jawatan Naib Presiden yang menyaksikan enam nama baharu daripada lapan calon menawarkan diri antaranya Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Selain mereka, Menteri Luar, Datuk Seri Dr, Zambry Abdul Kadir dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta calon wanita tunggal, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyertai persaingan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pertandingan jawatan Majlis Tertinggi (MT) pula menyaksikan 55 muka baharu daripada 74 yang menghantar borang pencalonan setakat kini.
Sebanyak 25 ahli MT akan dipilih dalam pemilihan berkenaan.
Antara calon muka baharu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan; Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Fazly Zainudin.
Malah katanya, perebutan bagi jawatan exco ketiga sayap pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri juga melibatkan banyak muka baharu.
“Bagi Exco Wanita pula, 39 muka baharu daripada 55 pencalonan dan untuk Pemuda UMNO seramai 92 muka baharu daripada 96 orang manakala Puteri pula, 44 muka baharu daripada 45 orang yang telah mengesahkan pencalonan masing-masing.
“Secara kesimpulannya semua calon bertanding adalah muka baharu. Ini satu petanda yang baik bagi UMNO,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula, setakat ini hanya terdapat dua calon iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula dan akan mencabar penyandang jawatan, Datuk Dr. Noraini Ahmad.
Turut membuat kemunculan semula ialah bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.
Perebutan kerusi Ketua Pemuda UMNO pula bakal menyaksikan lima calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah; Ketua Cawangan UMNO Pandan Tengah Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan seorang lagi ahli UMNO, Meor Hassan Mat Ali.
Jawatan Ketua Puteri bakal menyaksikan enam persaingan iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar; Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr. Masliha Harun dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin. – UTUSAN










