100 mangsa ditipu aplikasi e-ganjaran babit kerugian RM5 juta

100 mangsa ditipu aplikasi e-ganjaran babit kerugian RM5 juta

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih ramai lagi mangsa penipuan tawaran baucer atau e-ganjaran oleh satu aplikasi dalam talian yang dibongkarkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membuat laporan polis hari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebanyak 100 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung kes penipuan itu yang membabitkan kerugian hampir RM5 juta.

Kata beliau, laporan itu dibuat mangsa bagi menuntut keadilan selain membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sindiket penipuan berkenaan.

“Setakat hari ini sahaja, lebih 80 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan kita yakin dengan pendedahan yang kita lakukan masih ramai lagi individu yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Sentul, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Sementara itu, Musa berkata, beliau yakin ia satu penipuan dan memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat serta mengambil tindakan terhadap sindiket yang menggunakan nama orang kenamaan bagi menarik orang ramai menyertai mereka.

Beliau berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) perlu meneliti laporan polis dibuat dan menahan individu terbabit.

Dalam pada itu, seorang mangsa, dikenali Rafik, 40, ketika ditemui berkata, dia kerugian lebih RM70,000 selepas menyertai aplikasi perkhidmatan itu pada 2021, apabila diperkenalkan oleh rakan.

Dia yang juga kakitangan kerajaan menjelaskan, sebelum menyertai aplikasi itu dia merujuk kepada seorang agamawan yang menjadi antara duta syarikat aplikasi berkenaan bagi mendapatkan kesahihan.

“Saya lihat aplikasi itu menawarkan penjimatan dan ganjaran sehingga 50 peratus bagi setiap pembelian di kedai tersenarai.

“Jadi saya bimbang sekiranya ia melanggar syariat Islam. Tapi apabila agamawan itu mengesahkan ia harus dalam muamalat lalu saya menyertainya tanpa fikir panjang.

“Saya sempat menggunakan aplikasi itu selama setahun sebelum mengalami masalah dan ketika itu saya sedar sudah ditipu,” ujarnya.

Sementara itu, guru muzik yang enggan dikenali berusia 40 tahun yang kerugian lebih RM30,000 berkata, dia menyertai aplikasi perkhidmatan dalam talian itu selepas diperkenalkan ahli keluarga.

Dia tertarik kerana aplikasi itu mempunyai pelbagai jenis perkhidmatan termasuk pasar raya terkemuka dan menawarkan ganjaran mata bagi setiap pembelian yang boleh ditukar semula kepada wang.

“Bagi seorang ibu kepada tiga anak, sudah tentu saya mahu berjimat dalam perbelanjaan harian. Saya dapat membeli barangan keperluan di pasar raya pada harga lebih murah apabila menggunakan aplikasi itu.

“Tapi tak sangka pula, selepas beberapa bulan menggunakannya aplikasi itu mula berdepan masalah sehinggalah kesemua wang dan ganjaran dibekukan dan aplikasi tidak dapat digunakan lagi bermula Januari lalu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah syarikat menjalankan aktiviti skim piramid dan penjualan pakej tertentu menerusi aplikasi dalam talian dikesan MHO selepas beberapa mangsa tampil membuat aduan.

Syarikat itu dikesan menggunakan taktik menawarkan baucar yang boleh digunakan bagi pembelian barangan peribadi di premis terpilih dengan ganjaran menarik dan penjimatan sehingga 50 peratus termasuk pengisian petrol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya